PUTRAJAYA: Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, SOP sekatan pergerakan penuh fasa kedua yang bermula esok belum boleh dilonggarkan kerana kes harian Covid-19 masih tinggi.
Menurutnya prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 hanya boleh dilonggarkan berdasarkan matrik risiko semasa yang mengandungi empat tahap.
“Jika kes lebih 8,000 sehari, SOP tentu akan jadi lebih ketat, namun ketika ini seluruh negara catat di bawah 8,000 sehingga 4,000 kes sehari, iaitu tahap kita berada sekarang,” katanya dalam sidang akhbar mingguan Pasukan Petugas Imunisasi Covid-19 (CITF), hari ini.
Semalam, Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberitahu bahawa SOP boleh dikaji semula jika kes harian kurang 4,000 sehari.
Setakat 12 Jun lalu, data minggu epidemiologi ke-23 secara purata merekodkan 5,947 kes positif sehari iaitu pengurangan 20 peratus berbanding tempoh seminggu yang sebelumnya.
“Kita (Kementerian Kesihatan) akan bentang matrik risiko dalam mesyuarat Majlis Keselamatan Negara dan penilaian itu dilihat dengan ambil kira pelbagai skop tertentu,” jelas Adham.
Antaranya ujar beliau, penurunan jangkitan berdasarkan insiden penularan semasa, kadar kematian dan kebolehjangkitan serta respons tenaga kerja dan keupayaan operasi hospital.
Setakat minggu epidemiologi ke-23, tambahnya, kes aktif hanya mencatatkan penurunan 0.6 peratus manakala kematian pula merosot 13.7 peratus atau secara purata 79 maut setiap hari.
Namun katanya, kes pesakit Covid-19 di unit rawatan rapi (ICU) naik 3.9 peratus berbanding minggu epidemiologi ke-22 dan yang memerlukan bantuan pernafasan juga naik 4.1 peratus.
Begitu juga ujarnya, ujian saringan wabak itu di seluruh negara pada minggu lalu merekodkan penurunan ketara 11.7 peratus dengan Selangor paling banyak melakukannya iaitu 148,141.
“Semua bacaan matrik risiko itu akan bantu dalam perancangan kesiapsiagaan dan tindakan berkaitan kesihatan awam dan penyelarasan kapasiti vaksinasi ke atas rakyat,” kata Adham.
Indikator itu turut berpandukan garis panduan yang ditetapkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dengan Malaysia pada ketika ini masih lagi di tahap 4 iaitu paras insiden amat tinggi.
Beliau menambah, berdasarkan senario semasa kadar kebolehjangkitan komuniti peringkat nasional, paras itu menokok sejak 49 hari lalu iaitu bermula pada minggu epidemiologi ke-16.- UTUSAN ONLINE