PUTRAJAYA: Peningkatan mendadak kes baharu dan kes kematian Covid-19 terutamanya selepas 1 April lalu amat membimbangkan kerana kesukaran mengesan punca jangkitan yang boleh dicegah dan dikawal penularannya.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, perkara ini mendapat perhatian serius Kementerian Kesihatan susulan majoriti kes baharu dan kes kematian adalah kes sporadik.
Katanya, kes sporadik bermakna kes yang dikesan di dalam komuniti yang tidak dapat dikaitkan dengan mana-mana kes atau kluster sedia ada.
“Berdasarkan analisis yang dijalankan, didapati jumlah kumulatif kes baharu Covid-19 yang dilaporkan pada Minggu Epidemiologi (ME) ke-13 iaitu sehingga 3 April lalu adalah sebanyak 8,968 kes bersamaan 52 peratus adalah kes sporadik.
“Pada ME ke-19, jumlah kes baharu Covid-19 pula adalah sebanyak 29,386 kes bersamaan 77.7 peratus adalah kes sporadik sebelum merekodkan kes kumulatif mingguan tertinggi setakat ini pada ME ke-21, iaitu sebanyak 53,419 kes iaitu 85.1 peratus adalah kes sporadik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Noor Hisham berkata, trend kes kes sporadik kekal tinggi pada ME ke-22 iaitu sehingga semalam, dengan jumlah kes baharu adalah sebanyak 52,040 kes bersamaan 84.3 peratus kes sporadik.
Katanya, mengikut kumulatif mingguan kes kematian akibat Covid-19 pula, pada ME ke-13 iaitu sehingga Khamis lalu, sebanyak 35 kes termasuk 26 kes sporadik manakala pada ME ke-19 adalah 209 kes termasuk 187 kes sporadik dan jumlah ini melonjak iaitu pada ME ke-22, sebanyak 641 kes kematian termasuk 559 kes sporadik.
“Salah satu faktor yang menyumbang kepada situasi tersebut adalah berikutan kemunculan varian-varian baharu dalam komuniti dengan kadar kebolehjangkitan dan kematian yang lebih tinggi, selain penularan Covid-19 secara lebih meluas di dalam komuniti berbanding ME yang sebelum ini.
“Melihat kepada kebimbangan ini, masyarakat perlu mengambil serius situasi ini iaitu penularan Covid-19 adalah di dalam komuniti termasuklah pusat beli-belah dan tempat kerja,” katanya.
Tambahnya, sesiapa sahaja boleh dijangkiti tidak kira di mana mereka berada dan buktinya adalah peningkatan kes sporadik dan kematian.- UTUSAN ONLINE