Kes positif terus turun - Utusan Malaysia

Kes positif terus turun

DR. NOOR HISHAM ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Malaysia mencatatkan perkembangan positif pandemik Covid-19 selepas kes positif di seluruh negara dan kes aktif terus menunjukkan penurunan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, setakat hari ini, kes sembuh merekodkan 7,548 kes sekali gus mengatasi 5,271 kes positif yang turut merekodkan penurunan kes berbanding semalam, 6,241 kes.

Katanya, sebanyak 82 kematian melibatkan 23 kes di Selangor, 17 kes di Johor, 11 kes di Negeri Sembilan, lapan kes di Kuala Lumpur, lima kes di Kedah, masing-masing empat kes di Sarawak, Perak, dan Kelantan, dua kes di Labuan, serta masing-masing satu kes di Sabah, Melaka, Terengganu, dan Pulau Pinang.

“Seramai 38 lelaki dan 44 wanita termasuk dua warga asing berusia antara 24 hingga 96 tahun dengan 55 warga emas, enam meninggal di rumah (BID) dan enam tiada latar belakang penyakit.

“Baki pesakit mempunyai penyakit seperti Kencing manis, darah tinggi, jantung, obesiti, jantung, dislipidemia, leukemia, tiroid, paru-paru kronik, down syndrome, asma, kanser, strok dan saraf,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Noor Hisham berkata, kes aktif menunjukkan penurunan iaitu 84,269 kes berbanding semalam, 86,628 kes serta 902 kes Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 447 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Katanya, Selangor kekal menjadi penyumbang terbesar namun merekodkan penurunan iaitu 1,374 kes selepas beberapa hari melebihi 2,000 kes.

“Baki negeri hanya merekodkan kes di bawah 800 kes iaitu Sarawak (703), Negeri Sembilan (571), Kuala Lumpur (455), Johor (355), Kelantan (341), Sabah (336) dan Labuan (209).

“Sebanyak tujuh negeri dan satu wilayah merekodkan kes di bawah 200 kes iaitu Kedah (194), Melaka (178), Perak (177), Pulau Pinang (153), Terengganu (117) dan Pahang (99) manakala Putrajaya (8) dan Perlis (1),” katanya.

Mengulas mengenai 23 kluster baharu, beliau berkata, tempat kerja melibatkan 16 kluster, enam kluster komuniti dan satu kluster kumpulan berisiko tinggi.

Kluster tempat kerja katanya, empat di Selangor iaitu Integrasi Rawang Satu di Gombak (12); Jalan Keretapi Lama Klang melibatkan Klang dan Kuala Selangor (14); Jalan Tujuh Selatan melibatkan Sepang, Petaling, Kuala Langat, dan Klang (16) dan Jalan SS Enam di Petaling (31) manakala tiga di Johor, Jalan Perindustrian Tujuh melibatkan Tangkak dan Muar (25); Jalan Parit Hulu di Muar (16) dan Jalan Besar Rengit di Batu Pahat (10).

“Sarawak dua kluster, Jalan AIrport di Miri (12) dan Jalan Ilmu di Miri (24); dua di Negeri Sembilan, Pedas 2 di Rembau (42) dan Industri Kampung Gebok di Seremban (57); Hamparan di Kinabatangan, Sabah (27); Kampung Gajah Mati di Pasir Puteh, Kelantan (12); Jalan Walter Granier di Lembah Pantai, Kuala Lumpur (10); Jalan Burma melibatkan Timur Laut dan Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang (17) dan Dah Ria Jaya melibatkan Kuala Muda, Baling, dan Sik, Kedah (58).

“Kluster komuniti pula, Sarawak dua kluster iaitu Sungai Durin di Sibu (22) dan Jalan Masket di Bintulu (17); Sabah tiga kluster, Taman Wawasan melibatkan Beaufort, Papar, dan Kota Kinabalu (32); Kampung Bolong Baru di Kota Belud (33); Jalan Budi di Tawau (10) dan satu di Terengganu, Pelandang di Dungun (24),” katanya.

Tambahnya, satu kluster kumpulan berisiko iaitu Jalan Keranji di Johor Bahru, Johor melibatkan 28 kes. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya