KOTA KINABALU: Kerajaan negeri memberi kelulusan penuh untuk membenarkan semua agensi media massa di Sabah beroperasi sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri , Datuk Seri Masidi Manjun berkata, kebenaran operasi itu bagaimanapun tertakluk kepada pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan.
“Peranan media massa penting dalam membantu kerajaan menyampaikan serta menyebar luaskan maklumat sahih dan terkini kepada rakyat jelata.
“Menyedari hakikat itu, kerajaan negeri hari ini memberi kelulusan sepenuhnya kepada semua agensi media massa untuk beroperasi dari semasa ke semasa mengikut keperluan masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dengan kenyataan terbaru itu, SOP bagi media massa yang ditetapkan semalam tidak terpakai.
Berdasarkan kenyataan Masidi semalam, waktu operasi bagi liputan media cetak dan media dalam talian (online) di Sabah hanya dibenarkan antara pukul 7 pagi hingga 7 malam sahaja.
Namun untuk media cetak, kerajaan negeri memberikan kebenaran kepada agensi-agensi media cetak menjalankan operasi percetakan seperti biasa.
Bagi media penyiaran pula, kerja-kerja memproses bahan siaran dibenarkan beroperasi sehingga pukul 3 pagi sahaja.
Sementara itu, Presiden Persatuan Wartawan Sabah (SJA), Datuk Muguntan Vanar berkata, SJA menghargai dan berterima kasih atas keprihatinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dan Masidi kerana mempertimbangkan rayuan yang dikemukakan oleh persatuan tersebut.
Beliau berkata, pembatalan ketetapan yang membenarkan media membuat liputan antara 7 pagi hingga 7 malam adalah satu tindakan tepat bagi memudahkan tugas media di negeri ini.- UTUSAN ONLINE