PETALING JAYA: Seperti yang dijangka, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 disambung lagi, namun, sampai bila masyarakat harus berada dalam pelaksanaan separuh masak ini.
Menurut Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Khaled Nordin dalam satu kenyataan hari ini berkata, berhentilah melihat dan menguruskan pandemik ini dalam jangka 14 hari, tetapi mula berfikirlah lebih panjang dan kritikal.
Punca utama peningkatan kes bukan berpunca daripada jangkitan awam tetapi sektor kilang dan industri menjadi penyumbang utama penularan kes Covid-19.
“Kluster harian dari masyarakat awam adalah minimum namun, semua rakyat dikerah berkurung dengan tegas dan diminta bersabar dan terus bersabar.
“Malah sektor kilang dan industri seolah anak emas yang mendapat banyak sekali kelonggaran dan dibenarkan beroperasi seperti sedia kala.
“Keadaan ini tidak ubah seperti meletakkan ubat pada tempat yang tidak pun sakit, sedangkan bahagian yang luka tidak pula merawat,” katanya dalam kenyataan tersebut.
Tambahnya, beliau menggesa kerajaan untuk melaksanakan segera beberapa perkara kritikal yang mesti dilaksanakan segera dan bukan hanya mengkaji.
“Ramai yang sedang tertekan dan berada dalam keadaan yang kritikal serta memerlukan pertambahan bantuan sara hidup dan ini perlu diberi perhatian dengan segera.
Malah, kerajaan perlu uruskan negeri dan kawasan yang mempunyai kes yang begitu rendah dengan cara berbeza.
“PKP seluruh negara hanyalah jalan keluar yang culas, pukul rata dan menghukum semua pihak secara tidak adil,” katanya
Adalah lebih penting bagi kerajaan untuk semak dan pantau kilang-kilang serta sektor yang menjadi penyumbang besar kes harian.
“Mereka ini yang perlu difokuskan dengan tegas bukannya dengan terus mengurung seluruh negara,” katanya.- UTUSAN ONLINE