KUANTAN: Kerajaan Pahang disaran memanfaatkan tabung Covid-19 negeri dengan membiayai kos ujian calitan secara percuma kepada golongan yang mudah terdedah kepada penularan wabak berkenaan.
Antara golongan yang memerlukan seperti pekerja pasar raya, pasar awam, kedai runcit, pekerja kilang, peniaga kecil, pekerja restoran, penghantar makanan dan penduduk di kawasan yang dikenal pasti.
Pengerusi Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) Pahang, M. Malani berkata, langkah itu perlu bagi memastikan ujian saringan Covid-19 dapat dilaksanakan secara besar-besaran di negeri ini.
“Sejak kebelakangan ini, penularan Covid-19 di negeri ini semakin membimbangkan. Penularan jangkitan dalam kalangan tempat kerja, komuniti dan juga kes sporadik yang tidak tahu punca penularan semakin mengganas.
“Kluster pasar raya, kluster industri, kluster komuniti penyumbang utama kes Covid-19. Hal ini membuatkan rakyat negeri ini berasa tidak selamat untuk berada di mana- mana sekalipun.
“Justeru, kami (Muda Pahang) menyeru kerajaan negeri segera ambil tindakan progresif untuk mengekang penularan ini dan rakyat akan berasa selamat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Malani berkata, kerajaan negeri juga perlu menyeru lebih ramai pihak swasta untuk bersama-sama menyumbang dana ke tabung Covid-19 negeri.
Jelasnya, dengan cara itu, ia dapat membiayai kos saringan Covid-19 secara percuma kepada rakyat.
“Cadangan ini juga bersesuaian dengan faktor kekurangan bekalan vaksin yang masih belum cukup untuk mencapai 80 peratus kadar vaksinasi dalam kalangan rakyat.
“Tindakan ini perlu segera dilaksanakan supaya rakyat berasa selamat untuk berniaga, bekerja dan membeli-belah keperluan harian,” katanya. -UTUSAN ONLINE