Kerajaan NS perlu tambah dana hadapi Covid-19 - Utusan Malaysia

Kerajaan NS perlu tambah dana hadapi Covid-19

MOHD. ZAIDY ABDUL KADIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan digesa untuk menambah baik beberapa perkara dalam inisiatif bantuan menangani pandemik Covid-19 yang diumumkan baru-baru ini termasuk dengan menambah dana perbelanjaan daripada jumlah RM29 juta yang diperuntukkan tahun ini.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO negeri, Datuk Mohd. Zaidy Abdul Kadir berkata, kerajaan negeri perlu menambahkan peruntukkan yang ada untuk memastikan lebih ramai rakyat yang menerima bantuan.

“Angka RM29 juta terlalu kecil jika hendak dibandingkan dengan rizab RM1 bilion yang diumum Menteri Besar tahun lalu. Jika rizab kerajaan negeri yang diwarisi dari kerajaan negeri terdahulu itu banyak, gunakanlah sekarang ini.

“Buat apa disimpan rizab yang banyak sedangkan rakyat sedang dalam kesusahan. Sekaranglah waktu yang sesuai kerajaan negeri berbelanja,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambahnya, menerusi dana tambahan itu bantuan one-off dapat diberikan kepada lebih ramai keluarga dan rakyat yang mungkin kehilangan pekerjaan serta sumber pendapatan kerana Covid-19.

“Jangan terlalu rigid (tegar) dalam proses menyalurkan bantuan kepada rakyat, kerana dalam saat ini, kesemua rakyat dari pelbagai lapisan semuanya terjejas, maka bertindaklah,” katanya lagi.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun baru-baru ini memaklumkan, kerajaan memperuntukkan lebih RM29 juta untuk dibelanjakan bagi menghadapi Covid-19 sepanjang tahun ini.

Menerusi peruntukan itu, antaranya, sebanyak RM8 juta untuk bantuan perkhidmatan masyarakat, RM5 juta dibelanjakan bagi bantuan bakul makanan dan keperluan asas, RM5.36 juta untuk pengoperasian dan pengurusan pusat kuarantin dan RM3 juta untuk bantuan kehilangan pekerjaan secara one-off kepada ketua isi rumah.

Sementara itu, Mohd. Zaidy menambah, kerajaan negeri perlu bertindak agresif susulan peningkatan kes Covid-19 di negeri ini sejak kebelakangan ini terutamanya kes tersebut melibatkan sektor perindustrian.

“Gerakkan pihak berkuasa tempatan untuk membantu agensi penguat kuasa lain daripada kerajaan Persekutuan seperti polis untuk mengadakan pemeriksaan kepada kilang-kilang yang melanggar arahan prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Jangan biarkan kapitalis-kapitalis ini mengaut keuntungan ketika rakyat dipaksa duduk di rumah. Menteri Besar sebagai Pengerusi MKN negeri perlu proaktif,” katanya lagi.- UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya