PETALING JAYA : Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd. Puad Zarkashi mencadangkan kerajaan menggubal satu ordinan bagi membenarkan sidang Parlimen dapat dilakukan secara maya memandangkan negara kini di bawah tempoh darurat.
Katanya, hal ini memandangkan kenyataan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun mengatakan bahawa sidang Parlimen perlu dilakukan dengan kehadiran fizikal dan tidak boleh secara maya seperti mana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Apakah di bawah darurat, kerajaan tidak boleh wartakan satu ordinan yang benarkan sidang Parlimen dibuat secara maya?
“Sebelum itu boleh pula wartakan ordinan di mana kerajaan boleh tambah perbelanjaan tanpa kelulusan Parlimen,” soalnya dalam hantaran Facebook beliau hari ini.
Kepada Utusan Malaysia, Azhar Azizan sebelum ini menjelaskan, Perlembagaan Persekutuan perlu dipinda sekiranya mahu mengadakan sidang secara dalam talian kerana peruntukan undang-undang sedia ada menyebut sidang perlu diadakan dalam Bangunan Parlimen.
Beliau mengulas desakan pelbagai pihak termasuk Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Seri Azalina Othman Said yang lantang menggesa Parlimen kembali bersidang termasuk mengemukakan cadangan supaya secara maya seperti menggunakan aplikasi Zoom.
Terdahulu, Mohd. Puad membangkitkan persoalan kenyataan itu apabila Azhar Azizan mengatakan Perlembagaan Persekutuan menyebut bahawa Yang di-Pertuan Agong perlulah membuat pengisytiharan mesyuarat mesti dalam dewan yang fizikal.
“Biasanya Yang di-Pertuan Agong akan isytihar bertarikh sekian-sekian, waktu sekian-sekian dan di mana tempatnya iaitu dewan fizikal. Itulah penjelasan Speaker Dewan Rakyat.
“Apakah Seri Paduka Baginda tidak boleh isytihar sidang Parlimen kali ini dibuat secara maya? Kalau secara maya pun tidak boleh, eloklah kerajaan PN (Perikatan Nasional) perintah di alam maya. Tidak perlu pintu pun,” sindir beliau. -UTUSAN ONLINE