PETALING JAYA: Adalah penting kerajaan Perikatan Nasional (PN) membuat keputusan berhubung pengurusan Covid-19 berdasarkan fakta terkini bagi mencari keseimbangan antara kesihatan dan ekonomi.
Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Malaysia, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, perubahan fakta berlaku hampir setiap hari termasuk membabitkan bilangan kes dan jenis virus termasuk yang bermutasi.
Sehubungan itu katanya, ketiadaan sebarang perubahan terhadap pelaksanaan dan prosedur operasi standard (SOP) berkaitan Covid-19 merupakan lambang sesebuah kerajaan tidak cakna dengan situasi semasa.
“Sudah semestinya kita mahu kerajaan cakna dan membuat keputusan berdasarkan data dan fakta terkini. Jika sebelum ini kita tidak mahu adakan sekatan, mungkin ada masa nanti kita berubah pandangan dan mahukan sekatan ketat pula sebab fakta berubah.
Kata beliau jika sebelum ini SOP ketat, mungkin ia akan berubah dan mahukan kelonggaran sebab data pada masa itu sudah berbeza
Namun katanya, sebagai rakyat yang perlu kebebasan secepat mungkin supaya boleh terus mencari rezeki untuk diri dan keluarga. Kerajaan pula mahu pastikan wabak tidak semakin buruk dengan cara mengarahkan sekatan di sana sini.
“Dalam mencari keseimbangan ini, ada masa keputusan memihak kepada kebebasan individu, ada masa kepada sekatan kerajaan, dan ada masa ia berubah-ubah. Memang itu yang sewajarnya,” katanya dalam kenyataan di Facebooknya hari ini.
Dalam pada itu, Wan Saiful menyangkal tuduhan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Ketua Pemuda UMNO Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki kononnya kerajaan PN tidak mahu melaksanakan sekatan pergerakan penuh (total lockdown).
” Mereka ni sengaja petik sekerat sekerat untuk ubah topik. Sedangkan kita tahu selepas meneliti data yang terkini dan mencari keseimbangan antara kesihatan dan kesejahteraan ekonomi, lockdown telah diisytiharkan.
” Dalam komen saya, saya katakan bahawa kita mula melihat kesan positif daripada pengumuman lockdown oleh kerajaan. Tetapi gandingan Najib dan Asyraf Wajdi ini mengubah topik menuduh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin tidak mahu ‘lockdown’. Padahal Tan Sri Muhyiddin tidak mahu sekatan pergerakan penuh yang meranapkan ekonomi,”ujarnya. – UTUSAN ONLINE