PUTRAJAYA: Lembaga Getah Malaysia (LGM) menafikan beberapa isu yang dibangkitkan bekas pengerusinya, Datuk Ahmad Nazlan Idris sebagaimana disiarkan dalam media sosial, kelmarin.
LGM dalam kenyataan menjelaskan, antara dakwaan tidak benar itu adalah campur tangan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali dalam urusan LGM atau LGM Properties Corporation (LGMPC).
Katanya, dakwaan itu tidak tepat kerana di bawah Akta Lembaga Getah Malaysia (Perbadanan) 1996 (Akta 551) melalui Seksyen 14 telah menetapkan bahawa Lembaga Pengarah hendaklah bertanggungjawab kepada menteri dan menteri boleh memberikan arahan kepada Lembaga Pengarah untuk melaksanakan segera arahan sedemikian.
Jelas kenyataan itu, LGMPC adalah sebuah perbadanan ditubuhkan di bawah akta tersebut untuk menguruskan hartanah dan menjana pendapatan untuk LGM selain menubuhkan tiga jawatan kuasa khas pada peringkat Lembaga LGM sejak 28 September tahun lalu bagi meningkatkan keberkesanan pengurusan dan prestasi LGMPC.
“Peranan jawatan kuasa berkenaan adalah menilai dan mencadangkan langkah-langkah penambahbaikan yang bersesuaian. Pada masa sama, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) LGMPC yang baharu dilantik pada 25 Januari lalu melalui proses pemilihan dan temuduga yang teratur serta dipersetujui menteri.
“CEO LGMPC ini diberi mandat sepenuhnya untuk membuat penstrukturan operasi LGMPC bagi mengatasi kegagalan tadbir urus dan meningkatkan prestasi keseluruhan yang kurang memberangsangkan sebelum itu,” katanya hari ini.
Dalam pada itu, LGM berkata, proses pajakan tanah Lot 20013 (sebelum ini dikenali Lot 76) bagi tempoh 10+5 tahun dilaksanakan secara tender terbuka dan telus oleh LGMPC pada Oktober tahun lalu.
Menurutnya, Lembaga Perolehan LGM membuat keputusan pada 30 November 2020 bahawa syarikat yang berjaya dalam tender tersebut adalah Al Noor Foundation dengan harga bidaan tertinggi RM0.70 sekaki selaras dengan kadar penilaian Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Hartanah (JPPH), Kementerian Kewangan.
Katanya, Yayasan tersebut adalah syarikat berhad menurut jaminan yang tidak berasaskan keuntungan dengan majoriti pemegang amanahnya adalah rakyat Malaysia dan bukan milik rakyat Turki sebagaimana kenyataan Ahmad Nazlan itu.
“Pada 3 Disember 2020, LGM menghantar surat kepada Menteri untuk mendapatkan pertimbangan dan kelulusan akhir bagi keputusan tender tersebut. Walau bagaimanapun, Menteri pada 7 Januari lalu mengarahkan tempoh pajakan dilanjutkan kepada 15+10 tahun dan dibuka kembali Request For Proposal (RFP) kepada syarikat-syarikat yang terbabit dengan proses tawaran sebelum ini.
“Namun, sehingga sekarang perkara ini masih dalam proses tindakan di peringkat LGM dan LGMPC serta belum dimuktamadkan,” katanya.
Sehubungan itu, LGM berkata, kenyataan Ahmad Nazlan bahawa menteri mahukan 5+10+10 tahun adalah tidak tepat, selain kenyataan bahawa hasil yang boleh diperoleh oleh LGM selepas 25 tahun melebihi RM1 bilion juga tidak tepat.
LGM berkata, berhubung dengan Lot 20012 (sebelum ini Lot 75), masih tiada cadangan penjualan dan belum diangkat kepada Kementerian untuk pertimbangan menteri kerana pada masa ini, LGM masih membuat semakan berkaitan dengan JPPH dan Jabatan Warisan Negara.
Justeru, LGM menegaskan bahawa proses untuk membuat keputusan adalah mengikut tatacara yang telus dan berintegriti melibatkan keputusan Lembaga Pengarah terlebih dahulu, diikuti dengan ulasan oleh kementerian untuk diangkat sebagai pengesyoran kepada pihak menteri bagi pertimbangan dan kelulusan sebelum dikembalikan kepada Lembaga Pengarah untuk tindakan.
“Pihak LGM mengambil berat berhubung maklumat separa matang dan terperingkat milik Lembaga yang disebarkan serta tidak akan teragak-agak mengambil tindakan yang sewajarnya termasuk tindakan undang-undang,” katanya. -UTUSAN ONLINE