SEREMBAN: Lanjutan tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 untuk dua minggu lagi, sangat memberi kesan kepada pengusaha gunting rambut dan salun kerana perniagaan mereka disenaraikan sebagai perkhidmatan bukan keperluan utama.
Ketua Pegawai Eksekutif, C Cut Management Services Sdn. Bhd., Muhammad Nasrullah Yahya, 32, berkata, keadaan semasa pihaknya kini boleh disifatkan sebagai kritikal, malah, sebagai seorang pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS), Pelan Pemulihan Negara yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam juga tidak membawa rasa lega dan gembira.
Ujarnya, pelan dengan empat fasa itu hanya menambahkan lagi gelisah para peniaga untuk menempuh PKP 3.0 ini kerana masing-masing tidak boleh menjangka sehingga bila mereka boleh beroperasi semula dan lebih penting adakah mereka masih boleh lagi bertahan dalam tempoh masa tersebut.
“Banyak sektor perniagaan dibawah IKS masih tidak dibenarkan beroperasi dan kami jangka akan berlanjutan dalam tempoh yang agak panjang. Adakah sektor IKS ini menjadi punca kes Covid-19 meningkat? Kenapa sektor yang tak bersalah dihukum contohnya seperti kedai gunting rambut dan salun.
“Prosedur operasi standard (SOP) paling ketat dalam IKS adalah sektor kedai gunting rambut, kami mempunyai SOP yang telah disediakan oleh pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna dengan kerjasama Gabungan Persatuan Tukang Gunting Malaysia, dan sehingga kini tidak wujud langsung kluster kedai gunting rambut,” katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.
Tambah Muhammad Nasrullah, pihaknya sangat menyokong pelaksanaan PKP 3.0 pada awalnya kerana memahami itu sahaja cara yang mampu untuk menurunkan kes positif Covid-19 ketika ini.
“Namun, apabila kerajaan membenarkan sektor perkilangan beroperasi sehingga wujud banyak kluster di kilang, kami sangat kecewa, kedai gunting rambut dan salun yang tidak berlaku langsung penularan Covid-19, tidak pula dibenarkan beroperasi,” katanya lagi.
Ujarnya, menambah beban, permohonan mereka untuk moratorium daripada pihak bank juga masih lagi dalam status bersyarat sehingga kini.
“Bagaimana kami hendak meneruskan kehidupan, macam mana peniaga kecil mahu hadapi segala kos tanggungan bulanan serta perbelanjaan seisi rumah?,” tambahnya.
Jelas Muhammad Nasrullah lagi, selaku majikan kepada 36 orang pekerja, sememangnya dia sangat bimbang dengan keadaan terkini sektor gunting rambut kerana ia boleh menjejaskan kewangan syarikat malah keadaan ekonomi para pekerjanya.
“Namun saya cukup gembira apabila kebanyakan pekerja saya telah memulakan perniagaan sambilan masing-masing, mereka menjual kek, makanan sejuk beku dan pelbagai lagi demi kelangsungan hidup.
“Saya akan menyokong mereka, saya yakin ini bukanlah penamat dalam kehidupan, perjuangan harus diteruskan dan setiap kekusutan itu pasti ada jalan keluarnya,” katanya lagi. -UTUSAN ONLINE