Keluarga 13 beranak terhimpit sejak PKP - Utusan Malaysia

Keluarga 13 beranak terhimpit sejak PKP

NOR Aziah Anuar (belakang, kanan) bersama 11 orang anaknya yang kini hidup terhimpit sejak pandemik Covid-19 dan pelaksanaan PKP ketika ditemui di Kampung Kempas Baru, Johor Bahru di Johor. -UTUSAN/BAAZLAN IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Penangan pandemik Covid-19 cukup memberi tamparan hebat buat seorang suri rumah, Nor Aziah Anuar yang tidak dapat membayangkan bagaimana nasib mereka 13 beranak yang penuh berliku sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada Mac tahun lalu. 

Nor Aziah, 39, memberitahu, kesan pertama yang dirasai mereka apabila hilang mata pencarian keluarga setelah suaminya, Ramizan Ramli, 40, tidak lagi bekerja sebagai juruelektrik secara kontrak sejak PKP. 

Katanya, sejak itu, suami sukar untuk mendapat kerja tetap kerana kebanyakan majikan masing-masing mengehadkan bilangan pekerja dan disebabkan tiada pekerjaan, suaminya juga akan pergi memancing ikan untuk dijadikan lauk buat mereka sekeluarga. 

“Bila hari sudah lewat petang, saya akan hubungi suami sama ada dapat ikan atau tidak, kalau dapat adalah lauk bagi kami anak-beranak, jika tiada hasil kami makan apa sahaja yang ada di dapur. 

“Apa yang berlaku ini amat memeritkan buat kami sekeluarga. Jika PKP masih berlarutan, tidak tahu bagaimana masa depan kami sekeluarga,” katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Kempas Baru di sini, hari ini. 

Nasib menimpa keluarga itu mendapat perhatian Pertubuhan Permata Baiduri Malaysia (Permata) yang tampil memberi bantuan barangan keperluan kepada mereka. 

Sebelum pandemik Covid-19 melanda dan PKP dilaksanakan, kehidupan keluarga besar itu hanya dalam keadaan serba sederhana untuk menyara 11 orang anak mereka berusia lingkungan empat bulan hingga 22 tahun.

Nor Aziah berkata, dia mempunyai tiga orang anak yang tamat sekolah dan masing-masing sudah bekerja namun nasib sama menimpa mereka apabila turut diberhentikan kerja dalam tempoh PKP 3.0 baru-baru ini. 

“Sebelum ini, saya juga menjual barangan terpakai dan burger pada waktu malam untuk tampung keluarga namun keadaan makin sukar dengan PKP disebabkan tiada pelanggan seperti dahulu,” katanya.

Mereka sekeluarga yang menetap di rumah ibu mertuanya itu pernah melepaskan peluang menduduki Projek Perumahan Rakyat (PPR) pada 2019 kerana tidak mampu membayar wang deposit masuk rumah dan pinjaman bulanan. 

Ketika ini, keluarga besar itu menerima bantuan bulanan Baitulmal RM300, namun wang tersebut agak terhad untuk dibelanjakan. 

Sementara itu, Presiden Permata, Faridah Hamzah berkata, pihaknya akan melancarkan tabung bantuan untuk keluarga itu dan membantu anak-anak Nor Aziah yang sudah tamat belajar mendapat pekerjaan. 

“Justeru, orang ramai yang ingin membantu keluarga ini dan golongan memerlukan boleh memberi sumbangan ke akaun Maybank Permata yang bernombor 551128630934,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya