PASIR GUDANG: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) menyekat kemasukan 16 buah kontena yang membawa kelapa kering dari Papua New Guinea kerana terdapat serangga perosak pada produk tersebut di Pelabuhan Pasir Gudang, di sini.
Pengarah Maqis Negeri Johor, Hizzuan Hasim berkata, serangga perosak yang disyaki dari spesies necrobia rufipes dikesan pada kelapa berkenaan hasil pemeriksaan rutin yang dijalankan pada pukul 8 pagi, kelmarin oleh pegawai penguat kuasa ke atas kontena tersebut.
Katanya, pemeriksaan juga mendapati nombor rujukan permit tidak dicatatkan pada sijil fitosanitasi yang dikemukakan.
“Kesemua kelapa kering sebanyak 225 tan yang dianggarkan bernilai RM778,500 berkenaan telah ditahan untuk tindakan lanjut.
“Ejen penghantaran berusia 24 tahun yang membawa muatan itu telah ditahan untuk merakamkan keterangan sebelum dilepaskan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kes akan disiasat di bawah Seksyen 14 Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728] kerana mengimport produk pertanian yang dipercayai mempunyai perosak, penyakit atau bahan cemar.
Jika disabitkan kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali dan denda tidak melebihi RM150,000 atau penjara tidak melebihi tujuh tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan kedua atau yang berikutnya.
“Pihak Maqis menasihati agar semua pengimport dan pengeksport sentiasa mengikut peraturan yang telah ditetapkan oleh kerajaan agar kawalan penyakit haiwan, ikan, tumbuhan serta jaminan keselamatan makanan terpelihara di Malaysia,” katanya. -UTUSAN ONLINE