Kelantan perketat sempadan elak lembu kulit kental - Utusan Malaysia

Kelantan perketat sempadan elak lembu kulit kental

KEADAAN lembu yang diserang penyakit kulit kental atau lumpy skin disease (LSD). - Sumber Internet
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Kawalan sempadan Kelantan diperketat bagi mengelak kemasukan lembu seludup dari Thailand, susulan penularan penyakit kulit kental atau lumpy skin disease (LSD) yang dilaporkan mula menyerang haiwan ruminan di negara itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi, Teknologi Hijau dan Alam Sekitar negeri, Tuan Mohd. Saripudin Tuan Ismail berkata, dalam masa sama, lembu dan kerbau di kawasan yang bersempadan dengan Thailand juga akan diperiksa dengan rapi.

Katanya, pemeriksaan itu akan dibuat Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Kelantan dengan kerjasama Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) membabitkan lembu dan kerbau di sekitar jajahan Tumpat, Pasir Mas dan Tanah Merah.

“Langkah awal ini penting dalam mencegah kemasukan penyakit LSD ke negara ini berikutan Kelantan dan Thailand hanya dipisahkan oleh Sungai Golok. Setakat ini, penyakit itu belum dikesan di Kelantan.

“Namun, kita bimbang jika ada lembu seludup membawa masuk sekali penyakit tersebut memandangkan haiwan itu tidak melalui pemeriksaan ketat selain tidak dikuarantin,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Terdahulu, Maqis dilaporkan mengesan 42 ekor lembu import dari Thailand dijangkiti penyakit LSD itu ketika dikuarantin di stesen kuarantin berdaftar di Bukit Kayu Hitam, Kedah pada 26 April lalu.

Mengulas lanjut, Tuan Mohd. Saripudin berkata, kerajaan negeri sudah memohon bantuan pasukan keselamatan untuk memperketatkan lagi kawalan dalam usaha mengekang kemasukan lembu seludup melalui pengkalan haram di sepanjang Sungai Golok.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selising memberitahu, haiwan ruminan yang dijangkiti LSD boleh dilihat pada kesan bonjolan pada kulitnya selain pengambilan sampel darah untuk pengesahan lanjut.

Sementara itu, Syarikat Ladang Lembu Kelantan (HBA FARM) yang beroperasi di Rantau Panjang memaklumkan, sudah menghentikan aktiviti mengimport masuk lembu dari Thailand susulan penularan LSD.

Pengurusnya, Harkki Ahmed berkata, ketika ini, pihaknya hanya bergantung sepenuhnya kepada bekalan lembu yang diperoleh daripada penternak tempatan bagi memenuhi permintaan pasaran semasa.

Untuk rekod, LSD mula menular di benua Asia sejak 2019 dan antara negara yang terjejas teruk akibat penyakit yang boleh disebarkan oleh nyamuk dan lalat ini adalah Bangladesh, India dan China, sebelum mula dikesan di Thailand tahun ini. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN