Kehadiran penerima vaksin di Perlis meningkat sehingga 86 peratus - Utusan Malaysia

Kehadiran penerima vaksin di Perlis meningkat sehingga 86 peratus

AZMAN MOHD. YUSOF (kanan) mengadakan lawatan ke PPV Dewan Warisan di Kangar, Perlis hari ini.- UTUSAN/NAZLINA NADZARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Jumlah kehadiran penerima vaksin Covid-19 di negeri ini terus menunjukkan peningkatan kepada 86 peratus bulan ini berbanding sekitar 80 peratus sebelum ini.

Pengerusi Badan Bertindak Covid-19 Kebangsaan (CITF) negeri, Azman Mohd. Yusof memberitahu, peningkatan tersebut didorong oleh strategik komunikasi yang baik daripada semua pihak termasuk pemimpin-pemimpin tempatan yang sering menyampaikan kesedaran kepentingan menyuntik vaksin kepada orang ramai di kawasan mereka.

Katanya, selain itu, dengan wujudnya varian baharu yang mengancam nyawa serta peningkatan kes Covid-19 di negara ini, ia mendorong rakyat mengambil keputusan untuk menerima suntikan vaksin tersebut.

“Wujudnya kesedaran dalam kalangan masyarakat mengenai keperluan menyuntik vaksin apabila mereka melihat peningkatan kes Covid-19. Selain itu, mereka yang sudah menerima suntikan pula menceritakan kebaikan vaksin tersebut kepada orang lain yang secara tidak langsung turut membantu.

“Malah, sistem pendaftaran yang berjalan lancar iaitu mereka bukan sahaja boleh mendaftar menggunakan MySejahtera, tetapi juga dengan mengisi borang melalui Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dan portal juga turut mendorong kepada peningkatan ini,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan lawatan ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Warisan yang bakal beroperasi Isnin ini di sini hari ini.

Tambah Azman, sehingga 10 Jun, sebanyak 95,932 individu telah mendaftar untuk menerima vaksin manakala 42,421 individu telah menerima dos pertama vaksin dan 21,690 pula lengkap dos kedua.

Sementara itu, beliau memaklumkan, aset-aset kerajaan negeri dan pusat akan dimanfaatkan bagi membantu individu atau golongan yang tidak mampu untuk ke PPV dengan sendiri.

Katanya, langkah tersebut penting bagi melancarkan proses vaksinasi supaya mencapai imuniti berkelompok menjelang Disember depan.

“Kita akan menggemblengkan seluruh jentera pentadbiran negeri dan persekutuan daripada segi mobilisasi aset dan sumber. Aset kerajaan ini sudah tersedia dan sekiranya ada keperluan, individu tersebut boleh memaklumkan kepada JPKK masing-masing yang kemudiannya akan berhubung dengan bilik gerakan yang dikawal oleh Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

“Kemudian pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan menyelaraskan dan menentukan kenderaan yang akan digunakan untuk mengambil mereka ini. Bagaimanapun, mereka haruslah memberitahu dengan lebih awal sekurang-kurangnya dua hari sebelum tarikh temu janji,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya