KUALA TERENGGANU: Bilangan katil bagi rawatan Covid-19 di hospital di negeri ini kini meningkat kepada 507 dengan penambahan sebanyak 71 buah lagi.
Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Nor Azimi Yunus berkata, penyediaan katil tambahan untuk Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) itu merupakan strategi dan keperluan berikutan kenaikan kes Covid-19 di Terengganu.
Katanya, sebelum ini, kapasiti katil bagi rawatan Covid-19 di HSNZ ialah sebanyak 236 buah diikuti Hospital Hulu Terengganu (124 buah) dan Hospital Setiu (76 buah) dengan jumlah keseluruhan 436 buah.
“Mengambil kira peningkatan kes Covid-19 bagi kategori tiga, maka, kita menaik taraf 44 peratus atau 71 daripada 162 katil di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) Kolej Jururawat sebagai tambahan kepada HSNZ.
“Namun, strategi itu bukan bermaksud katil di Terengganu sudah tenat, malah, kita turut menambah 17 lagi katil Unit Rawatan Rapi (ICU) yang menjadikan jumlah keseluruhannya sebanyak 37 buah,” katanya dalam hantaran di laman Facebook hari ini.
Semalam, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr. Alias Razak memaklumkan PKRC Kolej Jururawat bakal dijadikan wad tambahan Covid-19 bagi menampung jumlah pesakit yang semakin meningkat.
Nor Azimi berkata, setakat semalam, hanya 14 kes dirawat di ICU dengan lapan daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.
Katanya, semua pesakit yang memerlukan rawatan di ICU boleh dimasukkan ke unit berkenaan dan tiada sebarang isu mengenai kesesakan katil timbul, malah, katil ICU untuk rawatan kes bukan Covid-19 turut disediakan.
Dalam perkembangan sama, katanya, setakat ini sebanyak lima PKRC dibuka dengan kapasiti 2,366 katil dan sehingga semalam hanya 1,357 atau 57.4 peratus yang digunakan.
“Jumlah katil PKRC yang disediakan ketika ini adalah mencukupi, namun jika kes Covid-19 berterusan meningkat tidak mustahil kita berdepan masalah kekurangan katil biasa atau katil ICU untuk merawat kes berkenaan, jadi saya memohon seluruh rakyat agar mengekalkan kepatuhan prosedur operasi standard (SOP) bagi memutuskan rantaian jangkitan,” katanya. -UTUSAN ONLINE