JOHOR BAHRU: Seorang lelaki berputih mata apabila sebuah kenderaan pacuan empat roda miliknya serta 250 karton rokok seludup bernilai lebih RM37,500 dirampas oleh Pasukan Polis Marin Wilayah Dua dalam satu serbuan di Jalan Seni Lorong 1 Senai, malam tadi.
Komander Pasukan Polis Marin Wilayah Dua Johor, Asisten Komisioner Muhd. Zailani Abdullah berkata, seorang lelaki tempatan berusia 29 ditahan dalam Op Kontraban kira-kira pukul 8 malam.
Beliau berkata, sepasukan pegawai dan anggota membuat pemantauan berterusan selama 48 jam di lokasi kejadian sejurus menerima maklumat dan risikan yang dilakukan.
“Hasil pemantauan, kita mendapati seorang lelaki dewasa sedang memunggah sejumlah kotak berwarna coklat di bahagian belakang kenderaan miliknya sebelum pemeriksaan mendapati terdapat 250 karton rokok seludup yang disyaki tidak bercukai.
“Turut dirampas adalah sebuah kenderaan jenis Ford Ranger yang dipercayai digunakan dalam sindiket penyeludupan tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Muhd. Zailani berkata, anggaran keseluruhan nilai rampasan dalam operasi terbabit termasuk kenderaan pacuan empat roda itu berjumlah RM107,500.
Katanya, kesemua barang rampasan kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai untuk tindakan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 135(1) Akta Kastam 1967.
Tambah beliau, operasi bersepadu dengan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) dan balai polis pesisir pantai akan ditingkatkan bagi membanteras sindiket terbabit.
“Kita akan sentiasa meningkatkan pengoperasian dan memperketatkan pengawalan terutamanya di perairan negara dari dibolosi sindiket penyeludupan ini yang dilihat sentiasa mengubah taktik bagi mengelak dari dikesan pihak berkuasa.
“Orang ramai diminta supaya menyalurkan maklumat tentang kegiatan atau aktiviti menyalahi undang-undang di persisiran pantai di talian 07-237 2221,” katanya.