JOHOR BAHRU: Kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun terpaksa menahan sakit kira-kira 30 minit setelah sebentuk cincin tersekat di jari manis tangan kirinya.
Dalam kejadian pada pukul 11.22 malam tadi di Jalan Sri Pulai Perdana 8/1, Taman Sri Pulai Perdana, Skudai di sini, ibu mangsa bertindak menghubungi bomba setelah cemas apabila jari anaknya semakin membengkak.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Skudai, Penolong Penguasa Bomba Mohd. Riduan Akhyar berkata, mangsa sebelum itu telah mencuba pelbagai cara untuk mengeluarkan cincin tersebut, namun, tetap tidak berjaya.
“Melihat keadaan bengkak di jari manis tangan sebelah kiri mangsa menunjukkan keadaan baru berlaku kira-kira setengah jam sebelum itu.
“Tindakan operasi memotong cincin menggunakan peralatan khas memotong cincin ‘Rotary Power Tool’ sehingga cincin dapat dilepaskan daripada jari mangsa,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Mohd. Riduan berkata, kanak-kanak itu tidak mengalami apa-apa kecederaan serius dan operasi ditamatkan pada pukul 11.47 malam setelah mendapati mangsa berada dalam keadaan baik. -UTUSAN ONLINE