KUALA KRAI: Tindakan pantas Norizan Ibrahim, 56, mengheret tangan cucunya berjaya menyelamatkan kanak-kanak berusia empat tahun itu daripada dipatuk ular tedung selar sepanjang 3.9 meter di Kampung Kuala Pertang, di sini, semalam.
Dalam kejadian pukul 6 petang itu, Muhammad Amsyar Muharam Mohd. Doli, 4, dikatakan baru sahaja selesai membuang air kecil berhampiran kawasan reban ayam sambil ditemani neneknya.
Ibu kanak-kanak itu, Siti Naimah Zul Adnan, 29, berkata, ketika kejadian dia baru selesai membersihkan belakang rumah ibunya yang terletak tidak jauh dari reban ayam itu.
Menurutnya,dia terkejut melihat kehadiran ular berkenaan yang sudah ‘berdiri’ melepasi ketinggian anaknya dan seolah-olah sudah bersedia untuk menyerang.
“Saya terus menjerit dan alhamdulillah, ibu saya tidak panik sebaliknya dia terus menarik tangan anak saya bagi mengelak terkena patukan reptilia berbisa itu,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Siti Naimah memberitahu, dia kemudian terus menghubungi penangkap ular tersohor, Raja Ular Kuala Krai Mohd. Hamdan Mahadi untuk mendapatkan bantuan.
Sementara itu, Mohd. Hamdan berkata, sejurus tiba di lokasi dia mendapati reptilia itu sedang memakan seekor ular tedung senduk.
Katanya, berpandukan kepada pengalaman dan kemahiran yang ada, dia mengambil masa kurang seminit untuk menangkap ular berbisa itu.
“Saya membawa ular tedung selar itu ke kawasan Hutan Ulu Tembeling, Batu Mengkebang untuk dilepaskan ke habitat asal,” katanya. -UTUSAN ONLINE