Juruteknik mengaku tidak bersalah 13 tuduhan rogol, amang seksual anak sendiri - Utusan Malaysia

Juruteknik mengaku tidak bersalah 13 tuduhan rogol, amang seksual anak sendiri

LELAKI berusia 45 tahun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Butterworth, Pulau Pinang atas 13 pertuduhan merogol dan melakukan amang seksual terhadap anak perempuannya sejak 12 tahun lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH: Juruteknik kilang mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 13 pertuduhan merogol dan melakukan amang seksual terhadap anak perempuannya sejak 12 tahun lalu.

Lelaki berusia 45 tahun itu membuat pengakuan berkenaan ketika pertuduhan dibacakan ke atasnya di hadapan Hakim Noorhayati Mohamad Yunus.

Lelaki itu berdepan dengan 12 pertuduhan merogol seorang gadis yang kini berusia 18 tahun dan satu pertuduhan melakukan amang seksual terhadap individu sama.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di antara tahun 2009 hingga 2020 di sebuah rumah di Taman Seri Delima, Bukit Mertajam di sini.

Bagi pertuduhan merogol, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 376B(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang 10 tahun dan tidak lebih 30 tahun serta sebatan.

Bagi kesalahan amang seksual pula, dia didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

Kes berkenaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Syeqal Che Murat manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Kes itu akan disebut semula pada 13 Julai depan manakala tertuduh tidak dibenarkan diikat jamin.

Akhbar sebelum ini melaporkan seorang remaja perempuan berusia 18 tahun tampil membuat laporan polis selepas tidak mampu menanggung trauma menjadi pemuas nafsu bapa sendiri sejak berusia enam tahun.

Dia membuat laporan selepas kali terakhir mendakwa dicabul bapanya itu minggu lalu di ruang tamu rumah mereka ketika ibunya sedang mandi.

Hasil siasatan polis mendapati selain dirogol dan dicabul, mangsa turut mendakwa pernah diliwat ketika berusia 15 tahun, namun, merahsiakan kejadian menimpanya kerana tidak mahu menjejaskan hubungan bapa dan ibunya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya