PETALING JAYA : Tindakan seorang jurulatih Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang didakwa mengeluarkan kenyataan jelik kepada pelatih wanita tular di media sosial hari ini disiasat polis.
Pengarah Pengurusan Bukit Aman Datuk Zaini Jass berkata, pihaknya memandang serius perkara itu yang boleh mencemarkan integriti pasukan dan tahap profesionalisme di Pusat Latihan Polis (Pulapol).
Justeru itu, kata beliau, satu siasatan akan dijalankan berhubung perkara itu.
“Siasatan dalaman ke atas jurulatih di dalam video berkenaan sudah dimulakan.
“Sehingga hasil siasatan diperoleh, anggota terbabit akan dipindahkan untuk membuat tugas am pejabat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Tambah Zaini, pihaknya tidak akan berkompromi dengan sebarang bentuk kenyataan, perbuatan dan perilaku yang boleh ditafsirkan sebagai seksis dan seumpamanya di kalangan warga PDRM.
Katanya, sebarang salah laku akan diambil tindakan tegas mengikut peruntukan undang-undang dan peraturan tatatertib pegawai awam sedia ada.
Terdahulu, tular video berdurasi 23 saat yang menunjukkan seorang lelaki bertugas sebagai jurulatih Pulapol mengeluarkan perkataan jelik kepada pelatih wanita.-UTUSAN ONLINE