JPV nafi ada kes jangkitan LSD ke atas manusia - Utusan Malaysia

JPV nafi ada kes jangkitan LSD ke atas manusia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) menafikan ada kes Lumpy Skin Disease (LSV) atau penyakit kulit kental yang sudah menjangkiti manusia daripada haiwan ruminan.

Menerusi kenyataan akhbarnya di sini hari ini, agensi Kementerian Pertanian dan Industri Makanan itu memaklumkan bahawa LSD tidak bersifat zoonotik terhadap manusia.

“Ia tidak pun boleh menjangkiti manusia. Justeru JPV menafikan gambar melalui media sosial yang tular kononnya ada individu dengan gejala di bawah mata disebabkan oleh LSD,” katanya.

Pada masa sama, ia mengesahkan bahawa berita yang tular disebarkan menyeru masyarakat agar mengelak membeli daging segar dijangkiti penyakit lembu di Perak adalah tidak benar.

Ia dipercayai susulan laporan media tempatan mengenai 42 ekor lembu import dari Thailand dijangkiti LSD ketika dikurung di stesen kuarantin Bukit Kayu Hitam, Kedah pada 26 April lalu.

Ekoran perkembangan ini, JPV Kelantan bekerjasama dengan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) memantau kemasukan lembu asing di sempadan negeri itu.

Mengulas lanjut, kenyataan ibu pejabat JPV itu memaklumkan pihaknya sudah mengaktifkan program survelan bagi mengesan, mengawal dan mencegah penularan LSD seluruh negara.

“Setakat ini, sebanyak 81,252 ekor lembu meliputi 9,108 premis ternakan telah diperiksa dan cuma 89 ekor atau 0.1 peratus daripada keseluruhan itu ada gejala jangkitan LSD,” jelasnya.

Penyakit LSD dilaporkan sudah pun menular di banyak negara Asia ketika ini antaranya India, Bangladesh, Nepal, Bhutan, China, Taiwan, Vietnam, Myanmar dan terkini pula, Thailand.

 Ia disebabkan virus Poxviridae yang boleh disebar ternakan ruminan melalui gigitan serangga vektor seperti nyamuk dan sengkerit selain rembesan air liur dan hidung haiwan dijangkiti.

 Sebagai usaha pencegahan, JPV memperketatkan syarat import lembu hidup dari luar negara dengan kerjasama Maqis di pintu sempadan dan akan bertindak ke atas ternakan bergejala.

 JPV memohon kerjasama pemain industri termasuk pengimport, peraih dan penternak agar segera menghubungi pejabat veterinar negeri atau daerah jika mengesyaki haiwan ada LSD.

 “Persampelan akan dijalankan bagi tujuan pengesahan dan ternakan yang terjangkit perlu diasing atau dilupus menerusi penyembelihan di premis dilesenkan,” kata kenyataan itu.

 Setakat ini, tiada rawatan khusus untuk penyakit LSD kecuali sekadar diberikan rawatan bagi mengelak jangkitan sekunder melalui pemberian ubat antibiotik, antijangkitan  dan vitamin.

 Meskipun jangkitan itu tidak mengakibatkan kematian besar, tetapi ia memberi kesan ekonomi kepada industri seperti penurunan pengeluaran susu, berat badan, keguguran dan kemandulan.- UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya