Johor benar ibadah korban di pusat sembelihan sahaja - Utusan Malaysia

Johor benar ibadah korban di pusat sembelihan sahaja

YAHYA AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Pelaksanaan ibadah korban termasuk aktiviti sembelihan, memotong, menimbang dan mengagihkan daging korban tidak dibenar dilaksanakan di masjid dan surau seluruh negeri ini sempena Hari Raya Aidiladha tahun ini.

Mufti Johor, Datuk Yahya Ahmad berkata, aktiviti itu hanya dibenarkan dibuat di rumah sembelihan yang berdaftar dengan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Johor dan Pejabat Perkhidmatan Veterinar Daerah sahaja.

Menurut beliau, agihan akan dilaksanakan terus oleh pihak penganjur kepada peserta dan asnaf fakir miskin selepas selesai kerja ibadah korban di rumah
sembelihan.

“Pada 10 Zulhijjah setiap tahun, umat Islam akan menyambut Hari Raya Aidiladha. Antara perkara yang digalakkan dalam menghidupkan perayaan ini adalah dengan menyembelih binatang qurban.

“Dalam situasi yang sedang berlaku di waktu ini, maka, pelaksanaan ibadah korban perlu dilihat dalam pelbagai sudut termasuklah dalam memutuskan rantaian Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Bagi pelaksanaan ibadah korban tahun ini, pusat penyembelihan yang berdaftar adalah sebanyak 115 rumah sembelihan, sementara di negeri ini, 12 pemegang lesen swasta rumah penyembelihan (ruminan); lima rumah sembelih swasta sementara dan 10 Pejabat Perkhidmatan Veterinar di setiap daerah.

Tambah Yahya, walaupun begitu, pelaksanaan ibadah korban yang dibenarkan hanya melibatkan ibadah wajib sahaja.

“Ibadah korban wajib yang dimaksudkan adalah korban nazar dan korban kali pertama iaitu mereka yang berkemampuan, tetapi, belum melaksanakan ibadah tersebut sebelum ini.

“Tarikh dan masa dibenarkan bermula 10 Zulhijjah hingga 13 Zulhijjah. Bagaimanapun, pelaksanaan korban pada hari pertama hendaklah selepas solat sunat Aidiladha dan khutbah dilaksanakan.

“Waktu operasi rumah sembelihan berdaftar adalah tertakluk kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Johor dan Pejabat Perkhidmatan Veterinar Daerah,” ujarnya.

Dalam masa sama, beliau turut mengingatkan pengurusan pusat sembelihan agar mematuhi setiap prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan dalam melaksanakan ibadah korban berkenaan. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya