IPOH: Jabatan Kesihatan negeri mengesan pemberian vaksin kepada warganegara asing di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Bandaran Teluk Intan, baru-baru ini.
Pengarah Kesihatan Perak, Datuk Dr. Ding Lay Ming berkata, siasatan yang dijalankan mendapati pihak pengurusan operasi gagal membuat tapisan secara teliti mengenai justifikasi pemohon untuk mendapatkan vaksin awal.
“Kita juga mendapati berlaku ketidakpatuhan dalam proses kerja pihak pengurusan operasi PPV turut menerima masuk warga tempatan yang memohon vaksin awal kerana telah dipanggil balik untuk menyambung pelajaran di universiti luar negara.
“Mereka ini tidak mendapat tarikh temujanji melalui MySejahtera seperti penerima vaksin Fasa 2 yang lain,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Menurut Lay Ming, pihaknya kesal atas kejadian yang berlaku dan akan terus menjalankan pemantauan rapi serta penyeliaan di semua PPV Awam.
“Ia bagi memastikan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dilaksanakan mengikut tatacara dan kriteria yang telah ditetapkan oleh Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 Kebangsaan,” katanya.
Katanya, pihak pengurusan PPV Daerah Hilir Perak komited dalam memastikan hanya golongan yang layak menerima vaksin dalam fasa dua diberikan keutamaan menerimanya.
“Pihak pengurusan PPV telah meningkatkan proses semakan dan penentuan kelayakan menerima vaksin berdasarkan kriteria yang telah ditetapkan di samping menyediakan kaunter bagi mereka yang terlepas temujanji untuk mendapatkan tarikh baru.
“Orang ramai di negeri Perak boleh menyalurkan aduan mengenai sebarang isu yang dikenal pasti di PPV kepada Jabatan Kesihatan Negeri melalui alamat e-mel [email protected] atau talian 05-2410252 / 05-2410107,” katanya.
Terdahulu tular dalam laman Twitter ciapan seorang pengguna yang mendakwa terdapat seorang doktor menyelit nama penerima vaksin yang tiada dalam senarai di sebuah PPV di negeri ini.
Dakwanya, kejadian itu bukan kali pertama berlaku dan mempersoalkan ketelusan doktor berkenaan. – UTUSAN ONLINE