JIM gempur perkampungan haram PATI - Utusan Malaysia

JIM gempur perkampungan haram PATI

KHAIRUL Dzaimee Daud (dua kanan) memeriksa dokumen perjalanan warga asing yang ditahan dalam serbuan di salah sebuah tapak pembinaan di Cyberjaya ketika operasi penguatkuasaan PATI. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CYBERJAYA: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menggempur sebuah perkampungan haram pendatang asing tanpa izin (PATI) di sebuah kawasan tanah terbiar di sini yang dipercayai dibina hampir empat tahun lalu.

Lebih mengejutkan, kawasan berkenaan yang rata-rata didiami warga asing dari Myanmar, Bangladesh, Nepal, Indonesia, India dan Pakistan itu dilengkapi bekalan elektrik dan air yang dipercayai disambung secara haram.

Turut dibina di perkampungan haram berkenaan ialah kedai kopi dan gunting rambut serta kawasan santai untuk mereka berehat.

Bagaimanapun, aktiviti harian mereka terbongkar selepas 156 daripada 202 yang diperiksa, ditahan dalam operasi bersepadu JIM bersama agensi penguatkuasaan lain hasil risikan selama tiga bulan.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, PATI yang ditahan terdiri daripada warga Bangladesh seramai 62 orang, Indonesia (42), Nepal (20), Myanmar (29) dan masing- masing seorang warga India, Sri Lanka dan Pakistan yang kesemuanya berumur antara 23 hingga 50 tahun.

“Daripada jumlah itu, 144 ialah lelaki manakala 12 lagi wanita kerana kesalahan tiada dokumen dan tinggal lebih masa. Sebanyak 46 warga asing lain dibebaskan kerana mempunyai dokumen lengkap.

“Dalam operasi ini JIM turut membebaskan empat sekeluarga yang mempunyai kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR),” katanya dalam sidang akhbar selepas turut sama menyertai operasi bersepadu berkenaan di sini malam semalam.

Khairul Dzaimee berkata, ketika serbuan, terdapat beberapa warga asing leka berjudi dan minum secara berkumpulan yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan.

“Kawasan penempatan ini juga didapati kotor kerana tiada sistem kumbahan dan perparitan sempurna menyebabkan air kumbahan bertakung serta mengalir dalam kawasan kediaman,” katanya.

Sementara itu, Khairul Dzaimee berkata, PATI yang ditahan dibawa ke ibu pejabat JIM di Putrajaya bagi menjalani ujian saringan Covid-19 serta siasatan lanjut.

“Mereka kemudian akan ditahan di pusat tahanan sementara di Semenyih sebelum dihantar pulang ke negara masing-masing jika didapati bersalah manakala majikan yang menggaji PATI ini akan disiasat Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) di bawah Akta 446,” katanya.

Operasi itu dilakukan secara bersepadu itu membabitkan 168 anggota dan pegawai terdiri daripada Polis Diraja Malaysia, JTKSM, Jabatan Pendaftaran Negara dan Angkatan Pertahanan Awam bermula 11 malam hingga 2 pagi.

Dalam perkembangan lain, Khairul Dzaimee berkata, JIM telah melakukan tangkapan dan pendakwaan ke atas kira-kira 1,701 majikan di atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen sepanjang tempoh 2019 hingga Mei tahun ini.

Beliau berkata, denda yang dikutip hasil pendakwaan dalam tempoh berkenaan adalah sebanyak RM33.07 juta.

“Bagi tahun 2019 sahaja, JIM telah mendakwa 1,052 majikan dengan jumlah denda yang dikutip kira-kira RM19.3 juta manakala jumlah yang dikutip bagi tahun lepas pula kira-kira RM10.4 juta membabitkan 519 majikan.

“Sehingga Mei lalu pula, sebanyak 130 majikan telah didakwa dengan jumlah denda yang dikenakan adalah RM3.2 juta,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya