JHEAINS urus 139 jenazah pesakit Covid-19 - Utusan Malaysia

JHEAINS urus 139 jenazah pesakit Covid-19

ANGGOTA Tajhiz JHEAINS membawa jenazah pesakit Covid-19 melintasi laluan landasan kereta api menuju ke sebuah tanah perkuburan Islam di Batang Benar, Seremban, awal pagi tadi.-FOTO/FACEBOOK JHEAINS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Sebanyak 139 jenazah pesakit Covid-19 di Negeri Sembilan telah diuruskan oleh pasukan pengurusan jenazah Covid-19 (Tajhiz) Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS).

Pengarah JHEAINS, Datuk Mohd. Zaidi Ramli berkata, jumlah tersebut adalah sejak awal tahun lalu sehingga ke hari ini.

“Setakat pukul 11.20 pagi hari ini, sejumlah 139 jenazah Covid-19 muslim yang telah diuruskan oleh JHEAINS.

“Berlaku peningkatan kematian dan jenazah yang diuruskan oleh pihak kami kebelakangan ini terutama selepas sambutan Aidilfitri lalu, sehinggakan kami pernah menguruskan lapan pengkebumian jenazah pesakit Covid-19 dalam satu hari,” katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.

Mohd Zaidi berkata, anggota Tajhiz JHEAINS lengkap dengan pakaian perlindungan peribadi (PPE) akan menguruskan jenazah bermula di bahagian forensik hospital sehingga proses mengkafan, menyembahyang serta memasukkan jenazah ke dalam keranda dan kenderaan.

Ketika proses pengebumian pula, anggota Tajhiz JHEAINS lain akan ditugaskan memastikan liang kubur disediakan dan sesuai dengan saiz jenazah serta menurunkan jenazah dan mengambus tanah.

Sementara itu, seorang petugas Tajhiz JHEAINS, Wan Mohd. Husni Abdullah, 40, berkata, dua pasukan akan bersedia untuk menguruskan jenazah Covid-19 Muslim di seluruh negeri ini.

“Memang betul, berlaku peningkatan jenazah yang kami uruskan sejak awal bulan Syawal ini. Pasukan kami sentiasa bersedia, siang mahupun tengah malam.

“Walaupun perlu menguruskan jenazah berturut-turut, Alhamdulillah keadaan kami masih lagi baik bagi menyumbangkan khidmat dan tugas fardu kifayah ini,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya