LUMUT: Seorang remaja perempuan terpaksa menahan kesakitan kira-kira 15 minit apabila jari kirinya tersepit dalam mesin pengisar di sebuah kilang memproses makanan di Pelabuhan Lumut, Kampung Acheh, Sitiawan, dekat sini hari ini.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, remaja berusia 19 tahun yang bekerja di kilang itu bagaimanapun hanya cedera ringan di jari manis kirinya dalam kejadian pada pukul 10.10 pagi itu.
Menurutnya, Balai Bomba dan Penyelamat Sitiawan menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada pukul 10.15 pagi sebelum menggerakkan sepasukan anggota ke kilang memproses ayam itu.
“Kejadian berlaku ketika remaja itu sedang mengisar isi ayam,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurut beliau, anggota bomba mengambil masa kira-kira 10 minit menggunakan peralatan khas bagi mengeluarkan jari mangsa.
Jelasnya, sebaik jari mangsa berjaya dikeluarkan dari mesin tersebut, mangsa diserahkan kepada pihak ambulans untuk tindakan lanjut sebelum operasi ditamatkan pada pukul 11.16 pagi. – UTUSAN ONLINE