Janji temu rawatan gigi KKM dihadkan susulan Covid-19 semakin serius - Utusan Malaysia

Janji temu rawatan gigi KKM dihadkan susulan Covid-19 semakin serius

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA : Slot janji temu bagi rawatan pergigian di fasiliti kesihatan Kementerian Kesihatan (KKM) dalam tempoh satu hari bekerja adalah sangat terhad dalam situasi penularan penyakit Covid-19 yang semakin serius.

Ia berikutan KKM telah mengamalkan beberapa norma baharu dalam penyampaian perkhidmatan pergigian selari dengan garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) yang digariskan oleh KKM dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Pengarah Kanan (Kesihatan Pergigian) KKM, Dr. Noormi Othman menjelaskan perkara tersebut berkata, ini termasuk proses saringan di kaunter pendaftaran yang lebih ketat.

“Selain itu, mengehadkan kehadiran pesakit ke klinik dengan menggalakkan pengambilan janji temu secara dalam talian atau melalui telefon dan memberi janji temu secara berperingkat.

“Tempoh pembasmian kuman di bilik rawatan pergigian setelah rawatan selesai untuk setiap pesakit juga dipanjangkan bagi memastikan persekitaran yang selamat, seterusnya mengawal penularan penyakit Covid-19 kepada pesakit dan juga anggota pergigian,” katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas dakwaan dikemukakan oleh pengadu perlu menunggu sehingga enam bulan bagi mendapatkan rawatan pergigian di fasiliti kesihatan KKM.

Dalam pada itu, beliau berkata, setiap pesakit yang hadir ke klinik pergigian akan melalui proses saringan di kaunter triage bagi menentukan kategori pesakit berdasarkan kriteria klinikal (tanda dan gejala penyakit Covid-19) dan epidemiologi (sejarah pergerakan pesakit dan kontak rapat dengan pesakit Covid-19).

“Pesakit yang tidak memenuhi kriteria ini akan dikategorikan sebagai pesakit berisiko rendah manakala pesakit yang memenuhi mana–mana kriteria akan dikategorikan sebagai pesakit berisiko tinggi.

“Setelah proses saringan, pesakit akan diperiksa oleh pegawai pergigian bagi penentuan jenis rawatan,” jelasnya.

Katanya, pesakit berisiko rendah boleh menjalani semua jenis rawatan pergigian manakala rawatan pergigian bagi pesakit berisiko tinggi adalah terhad kepada rawatan kecemasan sahaja.

Dalam pada itu, Noormi berkata, kebanyakan rawatan pergigian seperti penskaleran dan tampalan melibatkan penghasilan semburan dan titisan air yang kecil (aerosol) bercampur dengan air liur pesakit, berpotensi tinggi dalam penyebaran penyakit Covid-19.

“Justeru, rawatan seperti ini perlu dijalankan dalam bilik rawatan pergigian khas dilengkapi dengan peralatan bagi mengawal dan mengurangkan penghasilan aerosol ini.

“Semua anggota pergigian juga perlu memastikan pemakaian peralatan pelindung diri (PPE) yang lengkap dan mematuhi amalan kawalan jangkitan silang semasa menjalankan rawatan,” ujarnya.

Tambah beliau, proses kerja itu merangkumi penyediaan bilik rawatan, pemakaian dan penanggalan PpE anggota pergigian serta pembasmian bilik rawatan pergigian setelah proses rawatan mengambil tempoh masa yang lebih panjang berbanding dengan situasi sebelum penularan Covid-19.

“Oleh yang demikian, bilangan slot janji temu bagi rawatan pergigian yang boleh diberikan dalam satu hari bekerja adalah sangat terhad,” jelasnya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya