Jangan pandang ringan pendapat rakyat berhubung projek PSR - Utusan Malaysia

Jangan pandang ringan pendapat rakyat berhubung projek PSR

OH Tong Keong mewakili Gerakan Pulau Pinang mengingatkan kerajaan negeri supaya tidak memandang ringan bantahan rakyat berhubung isu projek tambak laut di perairan selatan (PSR).
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Kerajaan Negeri Pulau Pinang diingatkan tidak memandang ringan pendapat rakyat berhubung isu melibatkan projek tambak laut di perairan selatan (PSR). 

Pengerusi Parti Gerakan negeri, Oh Tong Keong berkata, ramai kini yang mempersoalkan pendirian kerajaan negeri yang dilihat sangat terdesak untuk melaksanakan projek mega itu yang memberi kesan kepada alam sekitar. 

“Saya berharap pengundi di bahagian selatan pulau di negeri ini bertegas dengan pendirian untuk tidak berkompromi dalam isu membabitkan PSR. 

“Biar kita mengenali dengan jelas sikap sebenar kerajaan negeri yang bukan sahaja mengabaikan kewujudan parti komponen Pakatan Harapan (PH) yang lain, tetapi juga tidak menghormati pandangan dan pendirian yang dibuat melalui petisyen bersama antara pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan 110,000 penduduk negeri ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

Sebelum ini, Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar menggesa kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri Pulau Pinang supaya membatalkan projek PSR dengan serta-merta. 

Bagaimanapun, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Pengangkutan negeri, Zairil Khir Johari dalam maklum balas berkata, projek tersebut merupakan pemacu pemulihan utama ekonomi negeri ini ketika dan selepas krisis Covid-19. 

Menurut Tong Keong, kerajaan negeri tidak sepatutnya memekakkan telinga dengan bantahan rakyat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berhubung projek tersebut. 

”Lebih-lebih lagi Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekitar juga jelas menyatakan projek PSR boleh mengakibatkan kemusnahan kekal kepada ekosistem laut,” katanya. 

Dalam pada itu tambah beliau, selepas Nurul Izzah menyatakan pendirian dengan jelas menolak PSR,  wakil-wakil rakyat PKR lain di negeri ini juga dicabar menyatakan pendirian masing-masing. 

“Isu PSR ini sering dibangkitkan namun sehingga kini wakil-wakil rakyat PH khususnya wakil rakyat PKR tidak tampil menjelaskan pendirian atau pandangan mereka berhubung dengan projek-projek mega yang bakal dijalankan di kawasan mereka. 

“Adakah mereka mempertahankan hak rakyat atau melindungi kepentingan pemaju,” katanya. – UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya