JOHOR BAHRU: Pas mendesak pihak berkuasa memandang serius perlakuan yang dianggap melanggar batasan sensitiviti beragama di negara ini agar ia tidak berulang.
Ketua Penerangan Pas Johor, Rusman Kemin berkata, pihaknya turut mengemukakan empat cadangan dalam usaha menghayati Perlembagaan Persekutuan agar sensitiviti terhadap agama dapat dipupuk dan dipertingkat dalam kalangan rakyat.
Untuk itu katanya, Perlembagaan Persekutuan perlu dijadikan subjek mata pelajaran dalam pendidikan sekolah rendah dan menengah.
“Kedua, perkara penting dalam Perlembagaan Persekutuan dijadikan dokumentari di radio dan televisyen milik kerajaan, selain dipapar dalam bentuk iklan di simpang jalan.
“Ketiga, banyakkan penganjuran program terbuka seperti forum dan wacana yang memahamkan kandungan Perlembagaan Persekutuan manakala yang keempat pula pihak berkuasa perlu mengenakan hukuman lebih berat terhadap kesalahan yang melibatkan isu sensitif seperti ini,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas insiden pergaduhan di Sungai Way, Selangor antara penghantar makanan dan seorang lelaki yang juga pelanggan hingga kejadian itu tular di media sosial.
Rusman turut memberitahu, kebelakangan ini isu penghinaan terhadap agama Islam semakin menjadi-jadi.
Sehubungan itu, Pas Johor menyarankan pihak berkuasa memandang serius perkara itu dan mengharapkan tindakan tegas diambil bagi memastikan isu penghinaan agama dapat dibendung.
“Islam Agama Persekutuan, manakala agama lain bebas untuk diamalkan dengan aman. Ini termaktub dalam Perkara 3(1) dalam Perlembagaan Persekutuan. Sensitiviti agama bukan barang mainan.
“Islam mengajar umatnya untuk menghormati agama lain bahkan jika dalam peperangan sekalipun Islam melarang serangan terhadap rumah ibadat agama lain dan mereka yang berlindung di dalamnya,” ujarnya.
Tambah beliau, keamanan dan keharmonian negara mesti terus dijaga serta dipelihara dengan setiap pihak perlu saling menghormati perbezaan, budaya dan agama dalam negara ini.- UTUSAN ONLINE