JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri diminta untuk tidak meminggirkan golongan gelandangan di negeri ini daripada menerima vaksin Covid-19 dalam usaha mengekang penularan wabak tersebut.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Khidmat Masyarakat dan Kesihatan Kebangsaan Bulan Sabit Merah Malaysia, Datuk Mohd. Rashidi Mohd. Noor berkata, perkara itu sudah dimaklumkan kepada kerajaan terhadap keperluan gelandangan divaksin bagi mengelakkan mereka menjadi pembawa wabak itu tanpa sedar.
Tambahnya, langkah pemberian vaksinasi kepada gelandangan di bandar raya ini juga diharap dapat disegerakan.
“Bulan Sabit Merah sudah menyerahkan senarai nama 229 gelandangan berdaftar di bandar raya ini kepada Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Johor, Zaiton Ismail sebelum ini.
“Jika kita lihat, tiada sebab mereka ini tidak diberikan vaksin kerana mereka golongan paling berisiko tinggi sama ada sebagai pembawa atau dijangkiti disebabkan tidak memiliki kediaman dan tinggal merata-rata.
“Jadi, kita berharap kesemua gelandangan yang sudah didaftarkan ini akan menerima vaksin mereka dalam masa terdekat,” katanya ketika ditemui mengagihkan makanan kepada gelandangan di Laman Tun Seri Lanang, di sini, semalam.
Mengulas lanjut, Mohd. Rashidi turut berharap kumpulan gelandangan yang menjadikan Laman Tun Seri Lanang di Jalan Tun Abdul Razak sebagai antara kawasan kediaman utama mereka dapat dipindah ke kawasan yang lebih sesuai.
Jelasnya, pihaknya diberitahu, Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) memaklumkan mempunyai rancangan untuk membina pusat khas gelandangan di Larkin.
“Namun begitu, penularan pandemik Covid-19 yang masih belum reda menyebabkan cadangan itu tidak dapat direalisasikan buat masa sekarang.
“Bagi Bulan Sabit Merah, adalah wajar kumpulan gelandangan ini dipindahkan ke penempatan yang lebih selesa selain dapat mengurangkan risiko dijangkiti wabak berkenaan,” ujarnya.
Ditanya mengenai laporan media Singapura bahawa terdapat kira-kira 500 gelandangan di bandar raya ini hidup dalam keadaan daif dan diabaikan, Mohd. Rashidi menafikan laporan dakwaan laporan tersebut.
“Laporan mengatakan terdapat 500 gelandangan di bandar raya ini adalah tidak benar sama sekali. Bancian dibuat Bulan Sabit Merah mendapati hanya ada 229 gelandangan yang berdaftar yang diberikan kad khas.
“Malah, terdapat banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang secara bergilir membantu menguruskan gelandangan di bandar raya ini terutama dalam pengagihan sumbangan makanan,” katanya. -UTUSAN ONLINE