PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuka sebanyak 21 kertas siasatan berhubung penularan berita tidak benar berkaitan Covid-19 dan Proklamasi Darurat 2021.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, semua kes itu disiasat di bawah Seksyen 4(1) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (No.2) 2021.
Beliau berkata, ini sekali gus memberi kuasa kepada PDRM dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) untuk menangkap tanpa waran mana-mana individu atau pertubuhan dan perbadanan yang cuba menyiar serta menyebarkan secara keseluruhan atau sebahagian berita tidak benar khususnya dalam media sosial.
“Siasatan dijalankan oleh Unit Terkelas, Bahagian Pendakwaan dan Undang-undang (D5) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman serta kontinjen sejak dikuatkuasakan pada 12 Mac lalu.
“Sebanyak sembilan tangkapan berasingan dibuat terhadap individu di bawah ordinan ini. Terbaharu, seorang lagi ditahan di Melaka Tengah menjadikan jumlah keseluruhan 10 orang,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Acryl Sani berkata, pihaknya telah menerima arahan daripada Pejabat Peguam Negara untuk menuduh tiga daripada suspek manakala tujuh lagi dijamin polis sehingga siasatan dilengkapkan.
Ujar beliau, seksyen 4(1) ordinan ini juga memperuntukkan kesalahan terhadap mana-mana orang yang melalui apa-apa cara dengan niat untuk menyebarkan atau berkemungkinan menyebabkan ketakutan atau kebimbangan kepada orang awam.
“Ini termasuk mengadakan, menawar, menerbit, mencetak, mengedar, mengelilingkan atau menyebar apa-apa berita tidak benar.
“Jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara selama tiga tahun atau kedua-duanya,” katanya.
Beliau turut mengingatkan orang ramai agar berhati-hati dalam membuat atau berkongsi apa-apa penerbitan yang mengandungi berita tidak benar sehingga boleh menimbulkan kegusaran atau kebimbangan berhubung langkah diambil kerajaan dalam usaha mengekang penularan wabak Covid-19.
Tegasnya, orang ramai digesa agar menjadi pengguna media sosial yang baik, berhemah atau tidak menggunakan platform tersebut sehingga boleh mendatangkan kegentaran awam serta menggugat keharmonian negara.
“Tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana individu yang sengaja berbuat demikian,” ujarnya.- UTUSAN ONLINE