KOTA KINABALU: Setiausaha Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sabah, Chan Foong Hin menyifatkan masih terlalu awal untuk membuat spekulasi mengenai tujuan sebenar semua pemimpin politik dipanggil menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Beliau berkata, semua pihak harus meletakkan keyakinan kepada cara Agong menangani isu semasa ketika negara dilanda pandemik Covid-19 yang semakin serius ini.
“Selaku ketua negara dan sebagai lambang penyatuan dan perpaduan negara, Agong berusaha untuk mengadakan perjumpaan ini dan pastinya ia dilakukan atas sebab-sebab tertentu.
“Namun, masih terlalu awal untuk kita membuat spekulasi atau andaian bahawa perjumpaan ini adalah bagi pertukaran kerajaan. Pertemuan ini tidak seharusnya dilihat dari sudut sebegitu,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau berkata, apa yang diharapkan adalah pertemuan dengan ketua-ketua parti politik ini akan membuahkan hasil yang positif agar semua pihak dapat mengangkat agenda memerangi pandemik Covid-19 sebagai keutamaan.
Ahli Parlimen Kota Kinabalu ini berkata, jika dilihat Agong sendiri tidak pernah menghentikan persidangan Parlimen semasa darurat sebaliknya ia bergantung kepada kerajaan untuk membuka semula persidangan Parlimen.
“Difahamkan selepas perjumpaan dengan pemimpin-pemimpin politik ini, minggu depan ada satu lagi perjumpaan atau mesyuarat bersama Raja-raja Melayu.
“Selepas semua perjumpaan ini, tidak kira darurat dilanjutkan atau tidak, persidangan Parlimen perlu dibuka segera bagi membolehkan semua ahli Parlimen memberikan input mengenai cara kerajaan mengendalikan dan memerangi Covid-19,” katanya.
Foong Hin juga melihat usaha memanggil pemimpin-pemimin parti politik sebagai satu tindakan tepat dalam mencari penyelesaian terbaik bagi menangani pandemik Covid-19.
Pada 7.49 pagi tadi, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi orang pertama tiba di Istana Negara untuk menghadap Agong.
Pemimpin-pemimpin politik lain juga dilapor dijemput ke Istana Negara bagi menghadap Yang di-Pertuan Agong bermula hari ini sehingga 11 Jun.- UTUSAN ONLINE