TAWAU: Pasukan Polis Marin (PPM) berjaya merampas dadah jenis syabu seberat 4.3 kilogram (kg) yang dianggarkan bernilai RM197,640 di perkampungan atas air Kampung Hidayat, di sini semalam.
Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Tawau, Deputi Superitendan Mohd. Nazari Ismail berkata, rampasan itu dilakukan semasa pasukan peronda Op Benteng melakukan rondaan kira-kira pukul 8.42 malam.
Beliau berkata, semasa pasukan keselamatan melakukan aktiviti rondaan dan pemantauan Op Benteng Covid-19, mereka berjaya mengesan dua bot yang tidak bergerak dalam keadaan mencurigakan.
“Sebaik sahaja menyedari kehadiran pasukan keselamatan, tiga individu yang mengendalikan bot berkenaan nekad terjun ke dalam laut dan meninggalkan bot mereka.
“Hasil pemeriksaan awal mendapati ada sebuah beg berwarna biru hitam serta lima bungkusan hitam pelbagai saiz.
“Pemeriksaan lanjut ke atas lima bungkusan berwarna hitam pelbagai saiz mendapati ia mengandungi ketulan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu seberat 4.3 kg.
“Turut ditemui satu dokumen pengenalan diri negara jiran atas nama Irwansyah di dalam sebuah beg silang disyaki milik salah seorang suspek yang melarikan diri.
“Rampasan dadah serta dua bot berkenaan dibawa ke Markas Operasi Polis Marin Tawau untuk pemeriksaan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kes akan dirujuk ke Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau dan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Mohd. Nazari berkata, masyarakat setempat disaran untuk menyalurkan maklumat mengenai sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang di kawasan mereka kepada PPM melalui aplikasi Whatsapp PPM Wilayah Empat Sabah di talian 013-2831197. – UTUSAN ONLINE