Insken lahir usahawan berjaya - Utusan Malaysia

Insken lahir usahawan berjaya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA : Kerajaan yakin dapat menghasilkan lebih ramai usahawan berjaya melalui pelbagai program latihan dan bimbingan keusahawanan anjuran Institut Keusahawanan Negara (Insken).

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, program tersebut bersesuaian untuk usahawan termasuk yang baharu menceburi bidang keusahawanan. 

Beliau berkata, prestasi peserta menyertai program latihan dan bimbingan Insken sentiasa dipantau bagi memastikan usahawan berada di landasan yang betul. 

“Sehingga hari ini, pencapaian cemerlang usahawan yang menghadiri program latihan dan bimbingan Insken masih dapat dikekalkan dengan purata peningkatan jualan minima sebanyak 20 peratus.

“Lebih membanggakan apabila ada usahawan yang berjaya merekodkan peningkatan jualan melebihi 200 peratus setelah menyertai program ini,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, beliau menghadiri Sesi Interaksi Usahawan Bersama Menteri selama dua jam secara atas talian melalui platform Zoom dan Facebook Live yang dihadiri lebih 200 usahawan pelbagai industri. 

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Suriani Ahmad.

Tambah Wan Junaidi, beliau sentiasa memberi penekanan terhadap rekod pencapaian usahawan yang menerima bantuan atau menyertai program di bawah kementeriannya untuk dipantau dari semasa ke semasa. 

“Insken melaksanakan pemantauan ini melalui salah satu aplikasi yang dikenali sebagai iPro untuk memastikan prestasi usahawan tidak tersasar dan dapat diberikan bantuan dengan segera jika berkeperluan demi pencapaian cemerlang usahawan. 

“Selain itu, ia turut mensasarkan untuk mempersiapkan usahawan dengan ilmu pengetahuan serta kemahiran yang bersesuaian untuk menghadapi situasi pasca Covid-19,” katanya.- UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya