PUTRAJAYA: Inisiatif Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam menjaga kebajikan bekas tentera amat dihargai khususnya dalam mewujudkan pemberian bantuan khas pelajaran untuk anak-anak melanjutkan pengajian tinggi.
Presiden Kelab Veteran Komando Malaysia, Sani Osman berkata, sebelum ini, bantuan secara one off itu hanya diberikan kepada anak-anak bekas tentera yang menyambung pengajian di universiti awam sahaja, namun kali ini diperluaskan kepada mereka yang turut ditawarkan ke universiti swasta.
Beliau berkata, pihaknya ada membuat pertemuan beberapa kali dengan menteri dan soal kebajikan golongan itu amat dititikberatkan termasuk mewujudkan semula beberapa inisiatif yang telah dimansuhkan sebelum ini.
“Selain itu program perumahan veteran ATM turut dilaksanakan bagi memastikan setiap orang dapat memiliki kediaman sendiri.
“Pada masa sama, kami juga mencadangkan agar kerajaan dapat mempertimbangkan semula program baik pulih rumah bekas tentera yang dihentikan sebelum ini,” katanya di sini semalam.
Pada Mac lalu, Ismail Sabri melancarkan program ‘Satu Anggota Satu Rumah’ (SASaR) dengan menyasarkan pembinaan sebanyak 25,000 unit rumah untuk warga dan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang dijangka siap pada 2030.
SASaR adalah satu daripada program dalam teras kebajikan Kementerian Pertahahan bagi menjamin keselamatan dan kebajikan warga dan veteran ATM agar mereka dapat menumpukan perhatian kepada tugasan hakiki.
Dalam pada itu, beliau berkata, tugas dan anggota tentera diatur gerak dengan lebih meluas dengan kali ini diperluaskan peranan membantu kerajaan memerangi wabak Covid-19.
Katanya, langkah itu dapat dilihat melalui usaha Ismail Sabri menubuhkan beberapa hospital medan untuk tujuan rawatan Covid-19 sekali gus mampu meringankan beban yang perlu ditanggung Kementerian Kesihatan.
“Jika dahulu ATM mengerahkan keringat dan tenaga mereka melawan musuh nyata, tetapi pada sekarang ini kita tidak lagi berperang dengan peluru, berperang dengan musuh yang tidak nampak.
“Peranan Kementerian Pertahanan amat baik dan sebagai veteran mewakili seluruh rakyat khususnya seramai 7,000 ahli veteran komando di seluruh negara mengucapkan terima kasih, teruskan perjuangan, jangan mudah menyerah kalah dalam membantu memerangi musuh terkini kita,” katanya. – UTUSAN ONLINE