JOHOR BAHRU: Kementerian Kesihatan meminta individu yang gagal menghadiri pengambilan vaksin mengikut tarikh janji temu mereka agar melakukan penjadualan semula menerusi aplikasi MySejahtera.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, perkara itu perlu dibuat bagi memastikan hasrat kerajaan mencapai imunisasi kelompok iaitu seramai 80 peratus rakyat tercapai.
Katanya, jumlah individu yang gagal menghadiri tarikh janji temu mereka akan dimaklumkan kerajaan minggu depan.
“Kita terima laporan harian ada individu yang gagal hadir vaksinasi atas pelbagai sebab antaranya tiada pengangkutan atau takut untuk disuntik.
“Tetapi saya nasihatkan mereka agar melakukan penjadualan semula dalam aplikasi MySejahtera masing-masing untuk membolehkan mereka tidak ketinggalan dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melawat PPV Mega Persada di sini hari ini.
Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, R. Vidyananthan dan Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Aman Rabu.
Tambah Dr. Adham, kerajaan bagaimanapun tidak berdepan sebarang masalah akibat kegagalan individu menghadiri janji temu mereka kerana bekalan yang tersedia itu boleh digunakan untuk penerima suntikan pada keesokan harinya.
“Mereka juga tidak perlu bimbang kerana nama mereka telah berdaftar dan masih ada dalam senarai individu menunggu untuk mendapatkan suntikan vaksinasi,” jelasnya.
Sementara itu, beliau turut memaklumkan PPV Mega yang mula beroperasi esok akan menyaksikan seramai 500 penerima suntikan bagi dua hari pertama pembukaannya.
“Kita akan laksanakan program ini secara berperingkat, di mana pada hari pertama dan kedua, seramai 500 penerima akan disuntik manakala bermula hari ketiga dan seterusnya seramai 3,000 individu akan disuntik sehari.
“Kaedah pelaksanaan suntikan bagi vaksin AstraZeneca ini akan dilakukan sama seperti suntikan vaksin lain yang telah dibuat terdahulu dan saya yakin semuanya akan berjalan lancar kerana persiapan rapi telah dibuat,” jelasnya.