ARAU : Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mengingatkan individu yang pulang dari luar bagi mendapatkan suntikan vaksin di Perlis supaya tidak pulang ke rumah berjumpa ahli keluarga.
Titah baginda, sebaliknya mereka diminta bermalam di hotel atau inap desa sebelum atau selepas menerima suntikan berkenaan.
Dalam masa sama, baginda terus mengingatkan rakyat negeri supaya sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan kekal berada di rumah dengan mengurangkan pergerakan sepanjang tempoh sekatan pergerakan penuh ini.
“Bagi rakyat Perlis yang pulang dari luar hanya untuk mendapatkan suntikan vaksin, ketua setiap keluarga di sini dimohon untuk memastikan agar mereka tidak pulang ke rumah berjumpa keluarga tersayang yang lain.
“Sebaliknya, jika perlu bermalam, tinggallah di rumah inap desa atau hotel yang dibenarkan beroperasi berdekatan serta patuh pada SOP ditetapkan demi keselamatan semua pihak secara bersama,” titah baginda dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tuanku Syed Faizuddin bertitah, antara polisi kekal di rumah yang wajar dipraktikkan ialah dengan mengoptimumkan pembelian keperluan rumah secara dalam talian.
“Hanya ke pasar atau kedai-kedai membeli-belah selang beberapa hari sekali, malah, jika boleh, seminggu sekali adalah lebih baik dengan menyenaraikan serta membawa senarai keperluan untuk dicari secara terperinci supaya lebih pantas dapat menyelesaikan segala apa yang hendak dibeli.
“Langkah-langkah sebegini jika berjaya dilaksanakan, akan mampu membuktikan bahawa rakyat Perlis adalah bermentaliti kelas pertama dalam tindakan dan prihatin dalam erti kata yang sebenarnya dalam sama-sama menangani dan membasmi isu Covid-19 yang melanda negara dan dunia ini.
“Penjagaan khusus hendaklah diberikan kepada ahli keluarga dalam kalangan warga emas dan berpenyakit kronik kerana golongan ini boleh mendapat komplikasi teruk jika dijangkiti Covid-19,” titah tuanku. -UTUSAN ONLINE