KOTA KINABALU: Pengumuman lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 memberi kesan yang cukup besar kepada sektor pelancongan, begitu juga pengusaha industri homestay atau inap desa di Kundasang, dekat sini yang memandangnya dengan penuh gundah-gulana.
Pengerusi Persatuan Pelancongan dan Kebudayaan Kundasang, Japiril Suhaimin berkata, sejak pandemik Covid-19 melanda, industri inap desa di kawasan tumpuan pelancongan itu sangat terjejas.
Pengusaha Kundasang Guesthouse itu berkata, ketika aktiviti rentas daerah mengikut zon dibenarkan, sekurang-kurangnya pihaknya masih menerima kira-kira 30 peratus tempahan.
Bagaimanapun, jelasnya, apabila PKP dilaksanakan semula, pendapatan mereka kembali sifar kerana aktiviti pelancongan tidak dibenarkan sama sekali.
“Hasrat saya menambah bilangan bilik pun terpaksa ditangguhkan. Saya sedang membina tambahan 18 bilik tapi disebabkan pandemik, pembinaan itu ditangguhkan dahulu,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.
Japiril berkata, sebelum pandemik, kemasukan pelancong ke Kundasang boleh mencecah 600,000 orang setahun dan ketika itu pendapatan pengusaha inap desa sangat baik.
“Apa yang kami harapkan adalah pemberian moratorium diperluas kepada pengusaha inap desa kerana kami langsung tiada pendapatan apabila PKP dilaksanakan. Dari segi bantuan pula, hanya pengusaha berdaftar yang layak diberikan bantuan,” katanya.
Sementara itu, Pengurus D’Izz Homestay Kundasang, Norsidah Lajiun berkata, sekarang ini industri inap desa cukup tenat dan sekiranya PKP berterusan untuk jangka tempoh yang lama, keadaan mereka bertambah teruk.
Jelasnya, ketika kelonggaran diberikan untuk melancong semasa pelaksanaan PKPB, mereka masih menerima 60 hingga 70 peratus tempahan pada hujung minggu atau cuti umum.
“Sebaik sahaja PKP dilaksanakan, terdapat 10 tempahan yang terpaksa ditunda dan dibatalkan,” katanya.
Kundasang adalah lokasi pelancongan terkenal di Sabah kerana di sini terletaknya Taman-Taman Sabah dan menjadi popular kepada mereka yang mahu mendaki Gunung Kinabalu. – ONLINE DONE