Import lembu, kerbau Thailand digantung - Utusan Malaysia

Import lembu, kerbau Thailand digantung

KEADAAN lembu yang diserang penyakit kulit kental atau lumpy skin disease (LSD). - Sumber Internet
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) mengambil tindakan segera untuk menggantung pengimportan lembu dan kerbau dari Thailand berkuat kuasa serta merta.

Langkah drastik itu sebagai susulan jangkitan wabak Lumpy Skin Disease (LSD) atau penyakit kulit kental yang dilaporkan melanda lebih 41 wilayah di negara berkenaan ketika ini.

“Ketetapan ini diambil bagi membendung risiko serius penularan LSD daripada Thailand demi kepentingan industri penternakan ruminan negara,” kata JPV menerusi kenyataan hari ini.

Agensi ini turut menyeru semua pemain industri meliputi pengimport, peraih dan penternak, agar memberi kerjasama dengan membatalkan tempahan daripada pembekal negara itu.

Mereka juga dinasihatkan supaya segera melaporkan kepada pejabat JPV di negeri atau daerah berdekatan sekiranya ada ternakan di kandang atau ladang menunjukkan gejala LSD.

Ujar kenyataan agensi tersebut, walaupun LSD bukan bersifat zoonotik iaitu tidak menjangkiti manusia, namun, ia boleh memberi kesan besar ekonomi kepada industri ruminan tanah air.

“Ini termasuk kerugian akibat penurunan berat badan selain isu penurunan pengeluaran susu, keguguran kandungan dan kemandulan ternakan yang dijangkiti wabak berkenaan,” kata JPV.

Pada masa sama, sebagai usaha pembanterasan kemungkinan ada penyeludupan lembu dan kerbau dari Thailand, agensi itu turut akan mendapatkan kerjasama daripada pelbagai pihak.

Ia meliputi Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (Aksem) bagi mempertingkatkan kawal selia di sepanjang perbatasan Malaysia-Thailand terutama menjelang Hari Raya Aidiladha kelak.

Tidak ketinggalan kerjasama dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) serta Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) di setiap pintu sempadan negara.

“Langkah tegas ini diharap dapat mempertingkatkan pemeriksaan bagi menghalang kemasukan semua lembu dan kerbau daripada Thailand buat masa ini,” kata kenyataan JPV itu lagi.

Penyakit LSD dilaporkan sudah pun menular di banyak negara Asia ketika ini antaranya India, Bangladesh, Nepal, Bhutan, China, Taiwan, Vietnam, Myanmar dan terkini pula, Thailand.

Ia disebabkan virus Poxviridae yang boleh disebar ternakan ruminan melalui gigitan serangga vektor seperti nyamuk dan sengkerit selain rembesan air liur dan hidung haiwan dijangkiti.

Setakat ini, tiada rawatan khusus untuk penyakit LSD kecuali sekadar diberikan rawatan bagi mengelak jangkitan sekunder melalui pemberian ubat antibiotik, antijangkitan dan vitamin. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya