Ihsan bekas isteri bantu warga emas tidak mampu bekerja - Utusan Malaysia

Ihsan bekas isteri bantu warga emas tidak mampu bekerja

MUDA Salleh termenung di pintu rumahnya selepas kini tidak mampu bekerja ketika ditemui di rumah sewanya di Kampung Tembioh, Kota Tinggi di Johor. -UTUSAN/MASTURAH SURADI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI: Akibat kesempitan hidup ditambah faktor kesihatan dan usia yang semakin lanjut, seorang duda hanya mengharapkan ihsan bekas isteri selepas dia kini tidak mampu bekerja lagi.

Bagaimanapun, bukan sahaja Muda Salleh, 66, yang berdepan kekangan itu, bekas isterinya,  Noriyah Abdullah @ Jamil, 48, yang mengusahakan kedai makan kini turut terjejas sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan tahun lalu.

Kata Muda, selama ini bekas isteri yang membantu menjelaskan sewa rumah berjumlah RM250 sebulan di Kampung Tembioh, di sini, tetapi disebabkan situasi luar jangka itu pendapatan Noriyah turut merudum sehingga tidak dapat meneruskan ihsannya.

“Rumah sewa saya kini tertunggak selama 16 bulan, semasa sihat dahulu saya kerja sebagai pemandu treler tetapi pada tahun 2010 saya diserang angin ahmar pada bahagian kiri badan sehingga tidak boleh jalan.

“Bekas isteri yang banyak bantu saya ketika itu, bila saya sudah sihat sikit dan boleh kembali berjalan saya duduk di rumah sewa lama bekas isteri di Kampung Tembioh itu pun dia yang tolong bayar.

“Saya kemudian terkena serangan angin ahmar kali kedua sehingga tidak boleh bercakap, mujur sekarang sudah semakin baik tetapi mempunyai sakit kencing manis dan darah tinggi pula,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Muda yang berasal dari Terengganu berkata, kini tiga orang anaknya berusia 16, 18, dan 19 tahun hasil perkahwinan dengan bekas isterinya itu tinggal bersamanya untuk membantu keperluannya di rumah.

Katanya, dia bersyukur kerana Noriyah banyak membantu dan sentiasa menjaga kebajikan makan dan minumnya sehingga kini meskipun mereka telah lama berpisah, selain menerima bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Baitulmal yang amat membantunya meneruskan kehidupan. 

“Namun, sejak PKP ini kadang kala duit tidak cukup sebab bil api air perlu dibayar dan kos ubat serta rawatan hospital. Tambahan pula saya perlu mendapatkan insulin setiap hari pada waktu pagi dan malam.

“Bekas isteri memang banyak membantu saya selama ini, tetapi dia juga kini mengalami kekurangan pendapatan kerana sejak PKP pelanggan amat berkurangan. Sewa rumah sudah lebih setahun tersangkut, mujur pemilik amat baik hati kerana masih benarkan saya dan anak-anak tinggal di sini,” katanya.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan bantuan ke akaun Maybank 1510-7134-3499 atas nama Muda Salleh.- UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya