PETALING JAYA : #Ibunisasi merupakan satu inisiatif proaktif dan responsif kerajaan untuk memastikan tiada golongan yang tertinggal atau tercicir dalam usaha melawan virus Covid-19 menerusi program vaksinasi terbesar dalam sejarah negara ini.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, inisiatif kerajaan itu juga selari dengan panduan klinikal dikeluarkan oleh pembekal vaksin tentang pemberian vaksin kepada wanita hamil seterusnya dikaji dan diluluskan oleh Kementerian Kesihatan.
Katanya, sehingga kini 110,000 wanita hamil telah mendaftar dengan MySejahtera di seluruh negara sejak opsyen khas itu dibuka pada 1 Jun lalu.
“Hujung minggu ini sahaja lebih 6,000 wanita hamil sudah menerima vaksinasi di dua PPV sekitar Lembah Klang iaitu Pusat Konvensyen Sunway Pyramid dan MITEC (Pusat Dagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia. Saya turut difahamkan bahawa janji temu vaksinasi juga cuba disesuaikan sebaik sahaja mungkin dengan tarikh bersalin.
“Saya dapati proses pemberian vaksin bermula daripada pendaftaran sehingga selepas disuntik berjalan lancar dan rata-rata golongan ibu yang ditemui menyatakan mereka berpuas hati kerana tidak perlu menunggu terlalu lama, dewan PPV luas dan selesa.
“Saya bersyukur ramai wanita yang tampil ke hadapan untuk melindung diri, dengan disokong oleh pasangan dan keluarga masing-masing,” katanya dalam hantaran Facebook beliau hari ini.
Terdahulu, Muhyiddin memaklumkan beliau meninjau proses vaksinasi di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Pusat Konvensyen Sunway Pyramid yang dikhususkan untuk wanita hamil.
Sebelum ini, Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin memaklumkan vaksin keluaran Pfizer-BionNTech kekal disyorkan kepada golongan ibu mengandung.
Selain itu, vaksin AstraZeneca dan Sinovac juga telah diklasifikasikan sebagai bersesuaian untuk golongan berkenaan.
Berdasarkan panduan yang dikemas kini oleh Kementerian Kesihatan dan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) menunjukkan bahawa ketiga-tiga vaksin itu adalah sesuai untuk ibu mengandung. -UTUSAN ONLINE