KANGAR : Suri rumah didenda RM5,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah menyebarkan berita palsu menggunakan aplikasi WhatsApp yang boleh mendatangkan kebimbangan kepada orang awam pada 18 April lalu.
Tertuduh, Norjannah Rusli, 28, yang merupakan individu pertama di negeri ini dituduh di bawah Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021 sejak berkuat kuasa 11 Januari lalu mengaku bersalah sebaik pertuduhan terhadapnya itu dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim, Musyiri Peet.
Mengikut kertas pertuduhan, ibu kepada dua orang anak yang sedang mengandung 28 minggu itu didakwa memuat naik status yang merupakan berita palsu di aplikasi WhatsApp menggunakan nombor telefon didaftarkan atas namanya dengan niat untuk menyebabkan ketakutan atau kebimbangan kepada orang awam.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu pada pukul 10.31 pagi di Kampung Belukar, Arau pada 18 April lalu.
Pertuduhan dibuat di bawah Seksyen 4(1) Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) (No.2) 2021 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara selama tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya, jika disabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwa Raya negeri, Mohd Nordin Ismail manakala tertuduh diwakili peguam, Zuhair Ahmad Zakuan dan dibantu oleh peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Siti Hajar Che Ahmad.
Terdahulu, Mohd Nordin telah memohon kepada mahkamah agar denda maksimum iaitu RM100,000 dikenakan terhadap tertuduh bagi memberi pengajaran untuk tidak sewenang-wenangnya menyebarkan berita tidak benar.
Bagaimanapun, Zuhair Ahmad merayu agar anak guamnya itu diberi denda pada kadar minima memandangkan tindakan itu merupakan kesalahan pertamanya dan perbuatannya itu adalah atas dasar rasa bimbang sebagai seorang ibu.
Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Musyiri menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM5,000 atau penjara selama lima bulan jika gagal membuat pembayaran.
Tertuduh kemudian membuat pembayaran tersebut dan dibebaskan.
Pada 20 April lalu, akhbar ini melaporkan Jabatan Pendidikan negeri membuat laporan polis berhubung dakwaan yang tular dalam media sosial mengenai terdapat sembilan pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Guar Nangka, Arau positif Covid-19.
Tindakan tidak bertanggungjawab itu telah menyebabkan kegusaran dalam kalangan ibu bapa sehingga mengakibatkan jumlah kehadiran pelajar ke sekolah itu dan kawasan sekitarnya merosot.
Januari lalu, kerajaan telah mewartakan Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021 yang berkuat kuasa mulai 11 Januari sebagai langkah proaktif bagi membendung wabak Covid-19 di Malaysia.
Ordinan setebal 12 muka surat yang mengandungi 18 perkara itu telah diwartakan dan dimasyhurkan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Abdulaziz di Indera Mahkota, Kuantan pada 14 Januari. -UTUSAN ONLINE