MELAKA: Kemahiran berpantun tokoh dondang sayang tertua etnik Chetti, mendiang G. Meenachi tidak mengalir dalam darah enam anaknya kerana mereka lebih ditekankan untuk mencapai kecemerlangan dalam pendidikan.
Salah seorang anak perempuan mendiang, Indrani Pillay, 61, berkata, ibunya amat menitik beratkan perkara itu memandangkan pada usia kanak-kanak dan remaja, Meenachi tidak berpeluang bersekolah ketika penjajahan Jepun di Tanah Melayu.
Katanya, meskipun begitu, mempunyai seorang ibu yang mahir dalam seni tradisional dondang sayang, apatah lagi berasal daripada etnik Peranakan Chetti di Melaka, sememangnya menjadi kebanggaan seluruh keluarganya.
“Ibu saya tidak pernah bersekolah kerana pada waktu itu, ketika pemerintahan Jepun selama tiga tahun lapan bulan sejak 8 Disember 1941, nenek dan datuk tidak menitik beratkan pendidikan anak-anak perempuan.
“Jadi, apabila mempunyai keluarga sendiri, ibu tidak mahu anak-anaknya keciciran dalam pendidikan, termasuk anak perempuan. Seni dondang sayang itu dianggap keistimewaan dimilikinya meskipun tidak berpelajaran,” katanya yang merupakan bekas pensyarah di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Seri Iskandar, Perak.
Meenachi, 91, meninggal dunia di Hospital Melaka akibat sakit tua pada 5 Jun lalu.
Indrani menambah, ibunya pernah diberikan penghargaan oleh bekas Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Senator Tan Sri Dr. Rais Yatim dan Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam yang ketika itu merupakan Ketua Menteri Melaka.
Ujarnya lagi, mendiang juga merupakan satu-satunya seniman dari golongan Chetti yang boleh berpantun secara spontan menggunakan bahasa kiasan digarap daripada pengalaman di jalanan dan nilai budaya masyarakat sekeliling.
“Kehilangan ibu bukan sahaja satu pemergiaan besar buat kami sekeluarga tetapi juga masyarakat Chetti serta Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri (JKKN).
“Tiada lagi wanita yang sudi menjadi penjual pantun sebagai tol sebelum pengantin lelaki duduk bersanding pada majlis perkahwinan dan tiada lagi yang menghiasi pembukaan majlis keraian dengan dondang sayang,” jelasnya. -UTUSAN ONLINE