Ibarat bandar hantu - Utusan Malaysia

Ibarat bandar hantu

ND Divers Guest House di Pulau Bum Bum, Semporna, Sabah, turut terjejas dengan  pelaksanaan beberapa siri PKP menyebabkan kehadiran pelancong merosot.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Resort mewah dan pulau-pulau tumpuan pelancong di Semporna kini boleh diibaratkan seperti ‘bandar hantu’ atau kota yang ditinggalkan tanpa kehadiran pengunjung.

Pelaksanaan beberapa siri Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyebabkan resort-resort pelancongan di daerah yang dahulunya sesak dengan kehadiran pelancong asing ini terjejas teruk.

Berdasarkan statistik Taman-Taman Sabah (TTS), kehadiran pengunjung ke Pulau Sipadan menurun secara mendadak iaitu daripada 45,270 orang penyelam pada 2019 kepada 198 orang penyelam, setakat Mac tahun ini.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Penolong Pengarah TTS, Maipol Spait berkata, bilangan pengunjung ke Taman Marin Tun Sakaran (TMTS), Semporna menunjukkan penurunan lebih 70 peratus dalam tempoh dua tahun ini.

Beliau menjelaskan, kehadiran pengunjung ke pulau-pulau di bawah TMTS pada 2019 adalah seramai 233,949 orang. Namun, untuk tiga bulan pertama tahun ini, bilangan pengunjung hanya 2,709 orang.

Taman marin ini meliputi Bohey Dulang, Pulau Sibuan, Pulau Mantabuan, Bodgaya dan Selakan yang menjadi destinasi tumpuan pelancong apabila berkunjung ke Semporna.

Selain Semporna, kehadiran pengunjung ke Taman Tunku Abdul Rahman (TARP) di Kota Kinabalu juga menunjukkan penurunan yang ketara. Daripada seramai 526,625 orang pengunjung pada 2019, ia menurun kepada 5,314 orang setakat Mac tahun ini.

Sementara itu, Pengusaha ND Divers Guest House, Annuar Ismail berkata, industri pelancongan Semporna semakin lumpuh dan menunggu masa untuk gulung tikar sekiranya PKP terus dilaksanakan bagi tempoh yang lebih lama.

Tanpa sokongan dan bantuan daripada kerajaan, kebanyakan pengusaha pelancongan terpaksa berdikari sendiri untuk mencari alternatif lain sebagai sumber pendapatan.

Tambahnya, jika dilihat resort-resort mewah di Semporna sekarang, ia kelihatan seperti ‘ghost town’.

“Memasuki PKP 3.0 ini, keadaan bertambah teruk sehingga boleh dikatakan 80 peratus pengusaha pelancongan terpaksa menutup operasi penginapan dan resort buat sementara waktu,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya