SHAH ALAM: Hospital Shah Alam akan dijadikan hospital khusus untuk kes pembedahan dan kes biasa bukan Covid-19 bermula hari ini.
Menurut Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Sha’ari Ngadiman, keputusan tersebut diambil setelah Hospital Ampang dijadikan hospital khusus untuk Covid-19 bermula semalam.
“Jika ada kes kecemasan Covid-19, pesakit masih boleh ditempatkan di Hospital Shah Alam.
“Ini berikutan Hospital Ampang semalam kita sudah jadikan hospital untuk pesakit Covid-19 tahap tiga dan empat yang dirujuk dari MAEPS Serdang,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Bakul Prihatin Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Untuk Barisan Hadapan Dewan Seri Tanjung Seksyen 19 hari ini.
Yang hadir menyampaikan sumbangan ialah Timbalan Datuk Bandar, Mohd.Rashidi Ruslan.
Mengulas lanjut Sha’ari berkata, pihaknya mewujudkan Hospital Ampang sebagai hospital untuk Covid-19 memandangkan Hospital Sungai Buloh berada tahap maksima.
“Saya berharap selepas ini kes Covid-19 boleh dirujuk terus ke Hospital Ampang dan hospital lain boleh menjalankan rawatan khusus untuk pesakit bukan Covid-19,”katanya.
Mengulas mengenai program vaksinasi pusat jagaan warga emas dan Orang Kurang Upaya (OKU) beliau berkata, program tersebut telah pun bermula.
“Kita telah memberi vaksin kepada 245 pusat jagaan warga emas dan 60 pusat jagaan OKU,”katanya. -UTUSAN ONLINE