ALOR SETAR: Gambar dua pesakit terpaksa menerima rawatan atas pengusung di Hospital Jitra, Kubang Pasu yang tular dalam media sosial sejak semalam menggambarkan situasi genting pandemik Covid-19 di Kedah ketika ini.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan negeri, Datuk Dr. Mohd. Hayati Othman, keadaan tersebut berlaku berikutan kekurangan katil berikutan peningkatan pesakit positif Covid-19.
Bagaimanapun, katanya, dua pesakit berkenaan bukan melibatkan pesakit Covid-19, sebaliknya, kes biasa sementara menunggu katil kosong dan mereka telah ditempatkan di katil biasa.
Katanya, kebanyakan katil di hospital itu telah diletakkan pasakit Covid-19.
“Dua pesakit itu bukan kes Covid-19 sebaliknya kes biasa yang terpaksa dirawat di atas pengusung sementara menunggu katil kosong,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai sekeping gambar memaparkan dua pesakit terpaksa dirawat di atas pengusung di ruang menunggu Hospital Jitra kerana masalah kekurangan katil.
Dr. Mohd. Hayati menambah, setakat ini, hampir kesemua hospital di negeri ini merawat pesakit Covid-19 termasuk Kuala Nerang, Sik dan Baling.
Katanya, sebanyak 80 peratus katil di hospital berkenaan pula melebihi kapasiti sementara katil di unit rawatan rapi (ICU) pula pada tahap 92 peratus.
Menurut Dr. Mohd. Hayati, kerajaan negeri bertungkus lumus untuk menyediakan dua dewan iaitu Dewan Wawasan di Jitra dan Dewan Al-Farabi di sini sebagai pusat rawatan Covid-19 bagi tahap empat dan lima yang bukan kritikal.
“Dewan Al-Farabi itu kini sedang diubah suai dan bakal dibuka segera bagi menampung kesesakan katil di hospital. Dewan Al-Farabi mampu menempatkan lebih 400 katil pesakit Covid-19 yang tidak memerlukan rawatan pernafasan,” katanya. -UTUSAN ONLINE