BALING, : Luluh hati seorang wanita apabila tempatnya untuk bergantung harap kini terlantar sejak lima tahun lalu.
Norma Che Nai, 47, berkata, suaminya, Pathur Radi Ishak, 54, mengalami penyakit lumpuh sejak enam tahun lalu kemudian dua tahun selepas itu anak lelakinya, Izzudin Pathur Radi, 23, pula ditimpa musibah dan terlantar sehingga ke hari ini.
“Kami kini seumpama sudah jatuh ditimpa tangga apabila ahli keluarga yang menjadi tonggak dan harapan kami ditimpa musibah berturut-turut.”
“Pada awalnya, suami saya terkena penyakit strok pada anggota badan sebelah kiri, puas kami berubat samada secara moden dan tradisional sehinggalah dia pulih sedikit dan boleh berjalan,” kata Norma ketika ditemui di rumahnya di Kampung Lubuk Kabu, Kuala Pegang, baru-baru ini.
Katanya lagi, walaupun suaminya semakin sihat tetapi dia tidak boleh melakukan kerja berat kerana kaki dan tangan kirinya tidak berfungsi.
Keadaan semakin susah apabila anak lelakinya pula terlibat dengan kemalangan motosikal empat tahun lalu di Labuhraya BKE Kulim-Baling ketika mahu pulang dari kerja.
“Ketika itu, Izzudin sedang dalam perjalanan pulang dari tempat kerjanya di Pulau Pinang ke rumah, tiba-tiba di pertengahan jalan dia ditimpa musibah menyebabkan dia terlantar tidak mampu bergerak sehingga kini.”
“Doktor yang merawatnya memberitahu keadaan Izzudin akan terlantar sepanjang hayatnya berikutan kecederaan yang dialaminya di bahagian kepala yang mempunyai pendarahan yang banyak menyukarkan doktor melakukan pembedahan dan mempunyai risiko yang tinggi,” katanya.
Katanya lagi, sejak itu, dialah yang menjadi jururawat anaknya di rumah untuk menukarkan tiup saluran pernafasan, tiup saluran minuman yang ditebuk di bahagian perut, memandikan dan sebagainya lagi seorang diri.
Suaminya tidak mampu menolongnya berikutan keadaan dirinya yang uzur dan kadang-kadang anaknya yang lain membantunya jika mereka berada di rumah.
Mereka juga hilang mata pencarian, bangkel kereta milik suaminya terpaksa dilepaskan kepada anak sulungnya dan dia sendiri terpaksa berhenti berniaga nasi lemak kerana perlu menumpukan sepenuh perhatian kepada anak ke dua daripada empat beradik itu dan suaminya.
“Pendapatan kami terjejas teruk, kini hanya sekitar RM600 sahaja sebulan hasil bengkel kereta yang anak usahakan, tambahan pula keadaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sekarang membuatkan keadaan kami semakin susah.”
“Izzudin sendiri memerlukan perbelanjaan hampir RM2000 sebulan untuk kos susu khas yang diminumnya, lampin pakai buang, ubat-ubatan dan alatannya yang perlu di ganti, dan sebagainya lagi,” kata Norma.
Mujur susu yang diminum anaknya itu disediakan oleh pihak hospital setelah memohonnya, namun dia tidak pasti berapa lama tempoh bantuan itu diberikan.
Bagi mereka yang ingin membantu keluarga Norma boleh menghubunginya melalui talian telefon 013-5196585.