PETALING JAYA : Tindakan pantas anggota bomba berjaya menyelamatkan seorang wanita yang cuba terjun dari tingkat 32 sebuah Kondominium di Sungai Buloh, di sini semalam.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis memberitahu, pihaknya memerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 7.52 petang.
Kata beliau, kejadian itu mencemaskan orang ramai apabila wanita berkenaan didapati berada di tepi bahagian luar bangunan di aras tersebut.
“Sebanyak 19 anggota dikerahkan ke lokasi kejadian dan berjaya memujuk wanita itu sebelum membawa mangsa ke tempat selamat.
“Mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Memberitahu punca wanita terbabit bertindak demikian, kata Norazam, mangsa dipercayai mengalami masalah peribadi.
“Dimaklumkan, dia telah diberhentikan kerja dan dihalau dari rumah sewanya,” jelasnya.-UTUSAN ONLINE