PETALING JAYA: Lembaga Tabung Haji (TH) menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati dengan tawaran badal (upah) haji yang sering dipromosikan di media sosial oleh agensi pelancongan dan individu tertentu.
Bahagian Hal Ehwal dan Komunikasi Korporat Kumpulan Lembaga TH memaklumkan, pelaksanaan Rukun Islam yang kelima memerlukan setiap jemaah dari luar Arab Saudi mendapatkan visa menunaikan haji manakala penduduk tempatan perlu memohon permit terlebih dahulu.
“Sehingga kini, Kerajaan Arab Saudi masih belum membuat sebarang pengumuman rasmi berkaitan pelaksanaan ibadat haji tahun ini.
“Selain itu, tawaran badal haji pada kadar bawah RM2,500 (seorang) adalah tidak munasabah kerana kos permit dan lain-lain perbelanjaan yang perlu ditanggung oleh penduduk tempatan Arab Saudi untuk menunaikan ibadat haji adalah jauh lebih tinggi,” katanya dalam kenyataan.
Justeru, TH meluahkan rasa bimbang dengan kes penipuan badal haji yang berlaku setiap tahun.
“Kami meminta orang ramai untuk memastikan ejen atau individu yang menawarkan perkhidmatan ini mempunyai kebenaran menunaikan haji serta berkelayakan dari segi ilmu untuk melaksanakan badal haji itu dengan sempurna.
“TH dan anak-anak syarikatnya tidak pernah terlibat dalam sebarang bentuk promosi, penawaran mahupun penyediaan perkhidmatan badal haji,” katanya. – UTUSAN ONLINE